Kita Tak Seburuk Yang Dicanang Pembangkang Kata PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyuarakan kekesalan terhadap segelintir rakyat Malaysia, terutama pembangkang yang memilih untuk ‘membutakan’ mata mengenai semua berita baik dikaitkan dengan negara ini.

Perdana Menteri berkata, sikap itu disengajakan hanya kerana ia bertentangan dengan pandangan mereka bahawa Malaysia adalah negara yang gagal.

“Alhamdulillah, tiga bulan sejak kita memasuki tahun baharu 2017, Malaysia telah melangkah maju, tapak demi tapak dalam setiap sudut pembangunan negara.

“Sepanjang tempoh itu, banyak berita baik dan positif mengenai Malaysia yang dipaparkan di halaman surat khabar dan majalah, baik tempatan mahupun luar negara.

“Malangnya, ada dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama pembangkang yang memilih untuk tidak nampak atau buat-buat tidak nampak mengenai semua berita baik ini,” katanya dalam catatan terbaharu di blog rasminya, Najibrazak.com, sebentar tadi.

Najib berkata, ia bukan sekadar menunjukkan betapa pembangkang memandang rendah terhadap keupayaan negara dan rakyatnya, tetapi turut mencerminkan kualiti jati diri mereka sebagai warga Malaysia.

“Di manakah rasa cintamu kepada Negaraku?” katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi beberapa perkembangan positif mengenai Malaysia, yang menjadi tajuk utama di pelbagai surat khabar dan majalah seperti berikut.

1.Ekonomi Malaysia suku keempat 2016 atasi jangkaan – Berita Harian

2. Langkah Baharu BNM dijangka lonjakkan ringgit – New Straits Times

3. Universiti Malaya Berada Di Ranking 100 Universiti Terbaik Asia 2017 – Bernama

4. 11 subjek di Universiti tempatan disenaraikan 50 terbaik dunia – New Straits Times

5. Malaysia Negara Terbaik untuk Pelaburan 2017 – U.S News & World Report

6. Khidmat Kesihatan Malaysia Ke-3 Terbaik Dunia – International Living Magazine

7. Malaysia Dijangka Peroleh KDNK Ke-25 Terbesar Dunia Menjelang 2030 – PriceWaterhouse Coopers

8. Malaysia antara 10 ekonomi Paling Pesat Berkembang di Dunia – The Economist Katanya, bukti itu menunjukkan bahawa keadaan Malaysia, sama ada menerusi kaca mata tempatan atau antarabangsa tidak seburuk yang dicanangkan pembangkang.

“Begitu banyak perkara positif yang boleh dibanggakan oleh kita sebagai rakyat Malaysia, sama ada dari segi ekonomi, pendidikan dan bermacam lagi.

“Kejayaan Negaraku adalah kejayaan rakyat semuanya dan sememangnya kita harus berbangga mengenainya. Berbangga dengan Negaraku, Malaysia,” katanya.-BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: