Harimau Malaysia Masih Belum Mantap

JENTERA tengah skuad Harimau Malaysia masih belum berfungsi dengan baik.

Perkembangan tersebut ternyata meresahkan jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee (gambar ke­cil) menje­lang aksi persahabatan kelas A menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal, Cebu, Rabu ini.

Kelemahan tersebut nampak agak ketara ketika aksi persahabatan menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam yang menyaksikan skuad Harimau Malaysia menang tipis 1-0 hasil jaringan pemain pertahanan, Shahrul Saad.

Walaupun keputusan perlawanan tidak boleh dijadikan sebagai pe­nanda aras buat Kim Swee, namun kelemahan yang ada dalam pasukan telah mengundang resah pengendali yang berasal dari Melaka itu.

Selepas membuat penilaian daripada aksi persahabatan tersebut, Kim Swee segera mengingatkan anak-anak buahnya agar terus be­kerja keras jika berhajat untuk menampilkan aksi terbaik pada perlawanan menentang Filipina nanti.

Jelas Kim Swee, 46, beliau menuntut barisan pemain skuad Harimau Malaysia terutama posisi tengah agar lebih berkarisma ketika melancarkan serangan atau bertahan serta mengurangkan melakukan kesilapan mudah.

“Tujuan kita (mengadakan perlawanan pemanas badan menentang PDRM) adalah untuk menilai kemampuan mahupun keserasian dalam kalangan pemain Harimau Malaysia.

“Para pemain diberikan peluang untuk beraksi selama 45 minit, ada yang bermain selama 60 minit. Jadi, ini penting untuk kita mendapatkan momentum bukan sahaja dari segi kecergasan tetapi juga ingin melihat corak permainan yang kita inginkan.

“Semua (pemain) beraksi dengan baik tetapi kita masih lagi mempunyai beberapa kelemahan terutamanya ketika melancarkan serangan. Bahagian tengah perlu memainkan peranan lebih berkesan dan cuba mengelak melakukan kesilapan mudah,” jelas Kim Swee.

Skuad negara akan berlepas ke Manila hari ini dan mereka ada dua hari untuk melakukan latihan di sana sebelum turun menentang Filipina pada Rabu ini.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee masih belum pasti siapa yang bakal mengisi kesebelasan utama Harimau Malaysia pada aksi menentang Filipina nanti walaupun dia sudah mendapat bayangan pemain mana yang layak untuk tugas tersebut.

“Saya masih ada masa dua hari lagi untuk membuat penilaian dan apa yang pasti, pemain yang membarisi kesebelasan utama nanti tentulah yang terbaik,” ujarnya.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *