Bicara Kes Rasuah Guan Eng Ditangguh Hingga Selesai Rayuan

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menangguhkan Perbicaraan pertuduhan rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli Perniagaan Phang Li Koon.

Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung 27 Mac ini ditangguhkan bagi menunggu keputusan rayuan pihak pembelaan untuk mencabar keputusan yang mengisythiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan penangguhan itu berikutan permohonan dari peguambela Gobind Singh Deo pada prosiding yang berlangsung hari ini.

Hadhariah berkata, tarikh 27 Mac itu dilapangkan sementara menunggu keputusan Rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 April depan untuk pengurusan kes.
Gobind memaklumkan bahawa notis rayuan yang telah difailkan oleh pihak pembelaan masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.

Timbalan pendakwaraya Datuk Masri Mohd Daud, berkata pihaknya bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga dalam proses membuat permohonan di Mahkamah Rayuan supaya kes itu dapat didengar secepat mungkin.

Pada 7 Mac, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak petisyen yang difailkan Guan Eng dan Li Koon bagi mencabar kesahihan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Dalam Penghakimannya, Hadhariah berkata Seksyen 62 adalah berpelembagaan dan sah serta tidak bercanggah dengan Perkara 5(1) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Gobind telah memfailkan permohonan notis rayuan keputusan berkenaan Di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

6 Januari lepas, Lim Guan Eng dan Phang Li Koon mencabar untuk mengisytiharkan seksyen 62 Akta SPRM 2009 itu sebagai tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Seksyen 62 menetapkan tertuduh perlu menyerahkan antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud dan Peguambela Gobind Singh Deo mewakili Lim Guan Eng manakala Datuk V. Sithambaram mewakili Phang Li Koon.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan perlingkungan semula daripada zon pertanian kepada zon perumahan awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, tingkat 28, bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai, 2014.

Dia didakwa mengikut seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada Phang dengan harga RM2.8 juta.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: