Thailand Tahan 27 Rohingya Cuba Masuk Malaysia

NARATHIWAT: Pihak berkuasa Thailand menahan 27 orang etnik Rohingya di Mukim Salamai, daerah Takbai pada Jumaat sebelum mereka diseludup masuk ke Malaysia menerusi sempadan di Kelantan.

Ketua Imigresen Wilayah Narathiwat Kolonel Noppadol Rakchart berkata kesemua etnik Rohingya itu, yang terdiri daripada 22 lelaki, tiga wanita dan dua kanak-kanak, ditahan dalam sebuah lori pada 1.30 pagi tadi (waktu tempatan).
“Pemandu lori berkenaan dikenali sebagai ‘Somrak’ berkata beliau membawa etnik Rohingya itu dari Ban Mod, Thung Krut di Bangkok ke Narathiwat sebelum diserahkan kepada kumpulan sindiket yang akan membawa mereka masuk ke Malaysia,” katanya kepada pemberita.

‘Somrak’ telah dua kali membawa kumpulan rakyat Rohingya ke Narathiwat sebelum ini dan diberikan bayaran sebanyak Baht30,000 (RM3,800) bagi setiap perjalanan, katanya.

Menurutnya kesemua etnik Rohingya itu ditahan atas kesalahan memasuki Thailand secara haram manakala pemandu lori terbabit disiasat bagi mengenal pasti dalang sindiket itu.

Sementara itu, seorang etnik Rohingya yang bercakap menerusi penterjemah berkata mereka memasuki Thailand menerusi pintu sempadan Mae Sot di sempadan Thailand-Myanmar selepas membayar Baht15,000 (RM1,900) kepada sindiket.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: