Lelaki Didakwa Ganggu Pelajar Dalam LRT Ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang didakwa menggangu seorang penumpang wanita di dalam tren LRT laluan Kelana Jaya pada Isnin telah diserah kepada polis.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata pihaknya berusaha mengesan lelaki itu sejak beberapa hari lepas setelah dimaklumkan mengenai insiden yang dimuat naik menerusi akaun Facebook mangsa, Nur Dini Van Haeren, 21, seorang penuntut universiti swasta.

“Susulan kejadian, kami menghubungi Nur Dini bagi mendapatkan maklumat lanjut yang kemudian diguna untuk mengesan lelaki itu menerusi rakaman kamera litar tertutup.

“Lelaki itu berjaya ditahan di Stesen LRT Taman Jaya semalam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis selepas mangsa membuat pengecaman.

Menurut kenyataan itu, Nur Dini diganggu oleh lelaki berusia 37 tahun dari Lembah Subang tersebut selepas wanita berkenaan menaiki tren di Stesen LRT Kelana Jaya ke pusat bandar.

“Ketika memasuki tren, dia perasan ada seorang lelaki memandangnya dengan ekspresi miang gatal.

“Berasakan lelaki itu berniat tidak baik, Dini mengambil sikap waspada.

Dia kemudian terdengar lelaki itu membisikkan kata-kata lucah kepadanya dan gangguan itu berterusan sambil pelaku membuat ekspresi tidak senonoh ke arah mangsa,” kata kenyataan itu.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *