Pulau Hashima Destinasi Tumpuan Pelancong

DARI jauh, bayangan Pulau Hashima atau lebih popular dengan gelaran Battleship Island seolah-olah timbul di permukaan laut.

 

Pulau terbiar itu pernah menjadi bandar paling padat di dunia suatu ketika dahulu.

 

Beribu lelaki, wanita dan kanak-kanak tinggal serta bekerja di pulau yang menempatkan lombong arang batu bawah tanah yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan sektor industri di Jepun pada lewat abad ke-19 lalu.

 

Namun, selepas beberapa tahun berlalu, lombong itu tidak lagi memberi pulangan yang lumayan.

 

Pada tahun 1974, syarikat Mitsubishi Material yang menjadi operator perlombongan di lokasi itu mula meninggalkan pulau yang terletak berhampiran pesisiran pantai Nagasaki tersebut.

 

Dikenali sebagai Gunkanjima dalam kalangan rakyat Jepun, ia pernah menjadi lokasi persembunyian penjahat dalam filem James Bond 2012 berjudul Skyfall dan pernah memenangi status tapak bersejarah oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tiga tahun kemudian.

 

Rahsia besar
Gambar lama menunjukkan salah sebuah bangunan yang terdapat di pulau yang dijadikan blok kediaman para pelombong.

 

Namun, tidak semua orang gembira dengan perhatian yang diberikan pihak berkuasa kepada pulau yang dikelilingi tebing konkrit dan menyerupai sebuah kapal perang pemusnah itu yang kini menjadi tumpuan popular dalam kalangan pelancong.

 

Runtuhan dinding konkrit, tingkap bangunan yang pecah dan besi penyokong pelabuhan yang semakin berkarat itu menyimpan satu rahsia yang besar.

 

Di lokasi itu, warga China dan Korea yang menjadi hamba dipaksa untuk bekerja kepada kolonial Jepun yang merupakan tuan mereka.

 

“Gunkanjima merupakan tempat syaitan. Status UNESCO merupakan penghinaan dan satu kejutan bagi pekerja buruh itu,” kata Naib Presiden Persatuan Buruh Paksa Cina, Zhang Shan.

 

Bagaimanapun, bagi Minoru Kinoshita, 63, yang dilahirkan di pulau itu, Battleship Island meninggalkan kenangan yang berbeza baginya.

 

“Saya kerap datang ke sini dan saya melihat tempat ini menjadi semakin teruk serta mula mereput,” katanya.

 

Kinoshita memberitahu, ketika dia berusia 13 tahun, pulau yang berkeluasan 6.3 hektar itu mempunyai sekolah, kolam renang, pasar terbuka, hospital, penjara bersaiz kecil dan kebun di atas bumbung.

 

Kinoshita yang merupakan anak kepada projektor teater tempatan juga masih mengingati tempat kanak-kanak bermain iaitu sebuah bangunan yang sangat sesuai untuk bermain sorok-sorok.

 

Di dalam bangunan itu pula, terdapat empat atau lebih orang akan tinggal bersama-sama di dalam satu bilik beralaskan tikar tatami. Penghuninya akan menutup semua tingkap yang ada jika pulau itu dilanda ribut.

 

Populasi di Battleship Island pernah mencecah sehingga 5,300 orang sekitar tahun 1960. Ia seolah-olah sebuah bandar perlombongan luar pesisir bagi industri perlombongan Eropah.

 

Lombong itu beroperasi 24 jam dan melibatkan syif kerja selama lapan jam.

 

Pada kedalaman 1,000 meter di bawah paras laut, pekerja lelaki akan bersesak-sesak di dalam ruang sempit yang mereka gali.

 

“Kandungan udara sangat sedikit. Keadaan pula sangat melekit apabila habuk arang batu bercampur dengan peluh menyebabkan keseluruhan badan kami menjadi hitam” kata Tomoji Kobata, 79, yang pernah bekerja di lombong itu selama empat setengah tahun pada awal tahun 1960-an.

 

Tugu peringatan
Sekumpulan pelancong sedang melalui sebuah jambatan untuk meninjau kawasan sekeliling di Pulau Hashima.

 

Lebih daripada 200 pekerja mati dalam beberapa insiden yang berlaku di situ manakala yang lainnya mengalami silikosis iaitu sejenis penyakit berkaitan paru-paru.

 

Jepun menduduki semenanjung Korea dan sebahagian tempat di China dengan kejam pada waktu yang berbeza iaitu suku pertama abad ke-20. Adakalanya mereka menjadikan pekerja sebagai hamba sehingga Perang Dunia Kedua.

 

Menurut Zhang, Persatuan Buruh Paksa China telah menyatakan bantahan terhadap UNESCO berkaitan pemberian status itu kepada pulau tersebut tetapi tiada sebarang respons yang diterima.

 

Mitsubishi Material selaku operator lombong itu pula memberitahu, mereka akan meletakkan tugu peringatan di pulau tersebut sebagai tanda penghormatan kepada buruh paksa yang pernah bekerja di lokasi itu.

 

Malah, syarikat itu juga telah memberi anugerah kepada sembilan buruh China untuk bekerja di lokasi lain dengan bayaran pampasan sekitar 100,000 yuan (RM64,500) setiap seorang dan beberapa lagi penyelesaian akan menyusul dalam tempoh terdekat.

 

Pada tahun 2015, Tokyo berjanji untuk memberikan maklumat kepada pelancong bahawa kesemua rakyat Korea dan negara lain yang dibawa ke pulau itu dipaksa bekerja dalam keadaan yang sangat kejam.

 

Di dalam risalah pelancongan juga ada menyatakan tentang nasib yang dihadapi oleh kumpulan buruh itu selain menjelaskan ada antara mereka yang mati ketika berada di dalam lubang lombong termasuk orang Jepun sendiri.

 

Kinoshita pula berharap, status UNESCO akan membawa kepada pengumpulan dana untuk memulihara semula bangunan yang telah rosak selain menghidupkan memori pada tahun 1966 ketika keluarganya berkumpul di pulau berkenaan untuk majlis penghormatan terakhir. – AFP/kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *