‘Saya Tak Boleh Lupa Apa Dia Buat Pada Saya’

TIADA istilah damai bagi pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengenai konfliknya dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen.

 

Sebaliknya, Chong Wei berkata beliau kini berasa lebih lega selepas dapat meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Frost yang terpendam selama setahun setengah dan kini hanya mahu fokus dengan pemulihan kecederaan lututnya.

 

“Selama setahun setengah saya simpan semua ini. Saya sudah beritahu apa yang saya rasa terhadap Frost… sukar bekerjasama dengan dia. Kini saya lega dapat luahkan semuanya.

 
“Saya tidak akan lupa apa yang dilakukan kepada saya. (Berdamai) mungkin susah sikit, selama 18 tahun bersama BAM, tiada seorang jurulatih sanggup melakukan perkara ini kepada saya… tidak pernah saya kata tidak kepada semua keputusan BAM,” katanya kepada pemberita.

 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kedai telekomunikasi XOX Space di Sunway Pyramid di sini hari ini.

 

Chong Wei menjelaskan beliau tidak mahu memikirkan mengenai tindakan seterusnya terhadap Frost dan menyerahkan kepada badan induk badminton negara untuk menyelesaikannya.

 

Pemain nombor satu dunia itu baru-baru ini meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana tercabar dengan tindakan Frost yang seakan tidak sabar mahu beliau bersara.

 

Mengulas mengenai peluangnya beraksi di Kejohanan Seluruh England bulan depan, Chong Wei memberi reaksi positif namun menjelaskan ia bergantung kepada tahap kecergasan serta pemulihan lututnya.

 

“Sekarang adalah tempoh pemulihan kecederaan. Setakat ini saya gembira dengan perkembangan positif kecederaan ini. Seluruh England adalah antara kejohanan kegemaran saya.

 

“Masih ada masa dalam lebih dua minggu, saya masih belum turun gelanggang untuk latihan kerana masih sakit dan fobia, tetapi saya akan cuba,” katanya.

 

Chong Wei diletakkan sebagai pilihan utama di Seluruh England yang akan berlangsung di Barclaycard Arena, Birmingham dari 7 hingga 12 Mac ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: