Kanak-Kanak Nyaris Lemas Terkunci Dalam Kereta Bapa

NILAI – Sepasukan anggota bomba bertindak pantas menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun daripada lemas akibat terperangkap dalam kereta milik bapanya di garaj sebuah rumah teres satu tingkat di Bandar Enstek di sini hari ini.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, anggota bomba terbabit bertindak memecahkan salah satu tingkap kereta tersebut apabila mendapati kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan lemah selepas lebih setengah jam terperangkap dalam kereta berkenaan.

 

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Fauzi Shamir berkata, kanak-kanak itu dipercayai terperangkap dalam kereta jenis Naza Bestari tersebut kerana dia mengunci pintu kenderaan terbabit dari dalam sewaktu ketiadaan bapanya.

 

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada bapanya pada pukul 11.40 pagi dan seramai sembilan pegawai serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan.

 

“Apabila kami sampai 20 minit kemudian, kanak-kanak itu sudah tidak bermaya. Matanya kuyu dan kelihatan lemah. Kami meminta izin bapanya untuk memecahkan tingkap penumpang belakang bagi mengeluarkan kanak-kanak itu dan memberinya minuman supaya kembali segar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: