24 Tahun Lim Kit Siang Tunggu Mahathir Disiasat, Akhirnya…

KUALA LUMPUR – Hampir 24 tahun dahulu, ahli parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dagangan mata wang asing oleh Bank Negara yang menyebabkan kerugian lebih RM30 bilion.

 

Kit Siang menerusi bukunya bertajuk ‘Skandal Kerugian Bank Negara Berjumlah RM30 bilion Akibat Pertukaran Matawang Asing’ diterbitkan pada 1993 mempersoalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memperjudikan wang rakyat yang akhirnya membawa kerugian kepada negara.

 

“Dagangan mata wang Bank Negara menyebabkan kerugian besar didalam pasaran tukaran mata wang asing. Sementara norma pasaran hanya meniagakan sekitar lot USD1 juta, USD5 juta atau USD10 juta, Bank Negara secara agresifnya berdagang didalam lot USD50 juta.

 

“Saya juga difahamkan terdapat juga waktu dimana Bank Negara mendagangkan USD500 juta pada suatu masa,” kata Kit Siang yang pada waktu berkenaan merupakan ahli parlimen Tanjong, Pulau Pinang dari tahun 1986 hingga 1999.

 

Kata veteran DAP itu lagi, RCI wajar diwujudkan bagi menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara ekoran fakta diperolehinya menunjukkan jumlah kerugian akibat dagangan berkenaan melonjak kepada RM25.6 bilion pada 1993, meningkat dari RM16.5 bilion pada tahun sebelumnya.

 

“Mungkinkah terdapat kerugian dagangan mata wang pada 1992 dan 1993 disembunyikan akaun Bank Negara dariapada apa yang telah dibincangkan?” soalnya menerusi buku berkenaan.

 

Selepas sejak sekian lama kes ini ‘dipendam’, Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid baru-baru ini tampil dengan mendedahkan semula skandal berkenaan.

 

Kata Abdul Murad, beliau bersedia untuk memberi kerjasama dalam membantu mengesan dalang kepada punca kerugian Bank Negara sebanyak USD10 bilion atau RM44 bilion, nilai semasa.

 

Kini, dibawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, barisan menteri kabinet telah meluluskan penubuhan ‘Task Force’ bagi melakukan penyiasatan awal terhadap kerugian Bank Negara era 1990-an itu.

 

“Penubuhan Taks Force ini merupakan langkah permulaan untuk mendapatkan semua fakta-fakta yang berkaitan – menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan daripada agensi-agensi yang berkenaan.

 

“Ia juga bertujuan untuk mengetahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenarnya berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini,” kata kenyataan media Pejabat Perdana Menteri.

 

Penganalisis politik Kapten (B) Abdul Rahmat Tun Mohd Haniff berkata, langkah kerajaan untuk menyiasat Bank Negara ini menamatkan penantian Kit Siang selama 24 tahun dan veteran DAP itu harus berterima kasih kepada Perdana Menteri.

 

“Lim Kit Siang amat berdedikasi dan memberi tumpuan khusus terhadap skandal tersebut hinggakan beliau telah menulis sebuah buku mengenai skandal tersebut.

 

“Lim Kit Siang mendakwa di dalam penulisannya bahawa kerugian akibat skandal tersebut telah mengakibatkan suatu lubang yang boleh mengakibatkan tenggelam dan musnahnya Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai entiti pihak berkuasa dan penjaga bank-bank dalam negara,” kata Abdul Rahmat, dipetik blognya, Seademon Says.

 

Menurutnya, Dr Mahathir yang pada ketika itu menyandang jawatan Perdana Menteri menafikan Bank Negara mengalami kerugian besar, walaubagaimanapun Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakop menegaskan kerugian sebenar dianggarkan bernilai antara USD27 bilion sehingga USD33 bilion – lima kali ganda simpanan rizab asing dan seluruh aset Bank Negara pada tahun 1992.

 

“Menurut bekas Timbalan Gabenor Bank Negara ketika itu, Dr Rosli Yaakop, empat orang bertanggung jawab penuh dalam skandal ini.

 

“Mereka adalah Tun Mahathir, konconya Daim Zainuddin yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu, Jaafar Hussein sebagai Gabenor BNM ketika skandal tersebut berlaku, dan Nor Mohamad Yackop yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab terhadap Unit Perancang Ekonomi di bawah Tun Mahathir,” dakwanya lagi. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: