Jong-Nam Sedar Dirinya `Di Ambang Maut’

MACAU – Abang pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un, pernah mendedahkan tidak mempunyai `masa panjang untuk hidup’.

 

Menurut sumber, Jong-Nam dikatakan mendakwa adiknya yang terkenal dengan kekejamannya, mengatur tindakan untuk menghapuskannya tetapi jarang bercakap mengenai rejim itu.

 

“Jong-Nam mengetahui risiko terpaksa ditanggungnya setiap hari dan sedar menjadi buruan adiknya,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya atas faktor keselamatan.

 

Anak sulung pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il itu sepatutnya menghadiri majlis makan malam bersama beberapa rakannya di sini, kelmarin.

 

Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan berita kematian Jong-Nam atau dikenali sebagai ‘John’.

 

Tengah hari sebelum kejadian Selasa lalu, seorang rakan menghubungi sumber itu dan menyatakan kebimbangannya apabila tidak mendapat berita daripada John seharian.

 

“Rakan bertanya sama ada saya ada mendengar apa-apa berita daripada John kerana John tidak mengangkat panggilan telefon bimbitnya.

 

“Sebelum ini, walaupun berada di luar negara, beliau sentiasa menjawab panggilan. Kami mendapati ia sesuatu yang aneh,” kata sumber itu.

 

Menurut sumber itu, kebimbangan Jong-Nam mengenai keselamatannya memuncak selepas bapa saudaranya, Jang Song Thaek dibunuh pada 2013.

 

Jong Nam tinggal di Macau bersama isteri dan dua anaknya iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.

 

Anak lelakinya berusia dalam lingkungan awal 20-an dan menerima pendidikan di Paris, turut bimbang mengenai tahap keselamatannya. Beliau sudah ditempatkan di bawah kawalan keselamatan.

 

Bagaimanapun, polis Macau tidak mengesahkan sama ada mereka menawarkan kemudahan perlindungan kepada keluarga Jong-Nam. – TSC Morning Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: