‘Saya Tidak Akan Tarik Diri’ – Annuar

 

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres ke-53 badan induk bola sepak negara itu 25 Mac depan.

 

Be­liau berkata, tiada niat untuk menarik diri walaupun Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengesahkan pencalonan baginda untuk bertanding jawatan tertinggi FAM itu, petik Kosmo.

 

Kelmarin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan hanya dua calon yang bakal bertanding jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM nanti iaitu Tunku Ismail dan Annuar, manakala dua lagi calon, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat masing-masing membuat keputusan menarik diri daripada pencalonan tersebut.

 

Kini, pemerhati bola sepak tempatan menganggap situasi satu lawan satu itu dilihat lebih memihak kepada TMJ berbanding Annuar kerana Tunku Ismail dianggap sebagai ‘Bapa bola sepak moden negara’ selepas kejayaan baginda mengubah landskap bola sepak Johor, sekali gus menjadi salah sebuah pasukan digeruni di rantau ini.

 

Sejak baginda mengambil alih kepimpinan bola sepak Johor, pasukan JDT telah melakar sejarah muncul juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada musim 2015.

 

Annuar menjadi calon pertama menyerahkan borang pengesahan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden FAM minggu lalu dan beliau menegaskan bahawa perjuangannya untuk menerajui FAM adalah serius.

 

Ketika ditanya sama ada beliau akan menarik diri sekiranya Tunku Ismail mengesahkan pencalonan untuk bertanding, Annuar dengan tegas menyatakan bahawa tiada ada sebab kenapa beliau perlu berbuat demikian (menarik diri).

 

“Kita tunggu (Kongres FAM ke-53) pada Mac nanti. Saya tetap bertanding,” katanya.

 

Menurutnya, beliau sudah dicabar dan kini bersedia menyahut cabaran tersebut.

 

“Tiada sebab kenapa saya harus menarik diri. Perjuangan perlu diteruskan tidak kira siapa yang bakal bertanding,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *