Kisah Di Mekah Bukan Tujuan Takutkan Penonton

MAKKAH -Zeel Production Sdn Bhd yang memaparkan kisah dan pengalaman jemaah haji serta umrah dalam drama Kisah Dari Makkah yang sedang dalam pembikinan di Tanah Suci, bukan bertujuan menakutkan penonton.

 

Penerbitnya, Fadzil Teh, berkata drama 15 episod itu sekadar memberi panduan dan manfaat kepada penonton, petik BH.

 

“Saya tahu, ada orang takut mahu ke Makkah. Bimbang tidak nampak Kaabah dan mendapat ujian atas dosa silam. Anggapan itu silap sebenarnya, Allah menerima walaupun sejahat manapun seseorang.

 

“Kami tidak mampu bercerita daripada mulut ke mulut, berapa kerat sangat yang dapat dikongsi. Jadi, saya dan kumpulan produksi menghasilkan drama ini untuk memberi manfaat kepada penonton.

 

“Niat saya mahu menyampaikan rahmat dan kebaikan bumi Makkah dan Madinah, bukan menakutkan sesiapa,” katanya.

 

Menurutnya, idea menghasilkan drama Kisah Dari Makkah tercetus sejak tahun 2015 dimana ia mendapat persetujuan Astro Oasis.

 

“Cerita yang diangkat berdasarkan kisah benar selain paparan akhbar dan majalah.

 

“Selain itu, ada kisah yang diperoleh daripada pengalaman Pengurus Operasi, Pimpinan Travel Sdn Bhd, Ustaz Suhail Abdul Hamid yang menguruskan perjalanan dan penggambaran kumpulan produksi,” katanya.

 

Tambahnya, dia bersyukur proses penggambaran drama dan telefilem lancar sejak tiba ke Makkah seminggu lalu.

 

 

Rombongan seramai 41 orang diketuai Fadzil selain artis, kru produksi dan wakil B*POP berangkat ke Makkah secara berperingkat sejak 4 Februari lalu.

 

Selain menjalani penggambaran drama Kisah Dari Makkah arahan Fadzil dan Hairi Safwan, Zeel Production juga menghasilkan telefilem Pintu No 9 yang mengangkat kisah Allahyarham Seniman Datuk S Roomai Noor yang menghembuskan nafas terakhir di kota Makkah, kira-kira 21 tahun lalu.

 

Paling istimewa, telefilem ini dibintangi anak arwah iaitu Noorkumalasari dan Zulkifli Ismail.

 

Drama Kisah Dari Makkah pula dibintangi Lydiawati, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Aaisyah Rania, Nur Risteena, Ruhainies, Cik Manggis dan Redza Rosli.

 

Turut berlakon Ben Ali, Aidit Noh, Hairi Safwan, PU Riz, PU Faris, Fendi Seman dan Mak Jah. Skrip drama dan telefilem dihasilkan Wan Mahani Wan Hussein dan Adam Danial untuk siaran Astro Oasis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: