PAS Haramkan Kerjasama Dengan Pihak Ada Hubungan Dengan DAP

PAS telah memberikan kata putus. Parti itu enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjalin ikatan dengan musuh PAS iaitu DAP.

 

Ketegasan itu dibuat oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam walaupun pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan tempoh selama sebulan untuk PAS membuat keputusan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan ataupun tidak.

 

“Tak perlu tunggu sebulan dengan BERSATU. Kita sudah ada dasar. Dasar (kita) tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan AMANAH (PAN). Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, kita tak ada hubungan dengan mereka,” demikian tegas Abdul Hadi.

 

Perkembangan ini menunjukkan bahawa PAS telah menjawab segala teka teki mengenai kerjasama dengan PPBM dan menutup peluang parti itu untuk bersama PAS dalam satu gabungan bagi menentang Barisan Nasional (BN).

 

Ia juga membuktikan bahawa PAS mempunyai `harga diri’ dan terus mengelak daripada diperlekehkan oleh DAP.

 

PPBM selama ini dilihat cuba menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan dan PAS menjelang PRU-14, bagi mengelakkan tiada pertembungan tiga penjuru antara PAS dan PAN.

 

PAS tidak mahu menjalin kerjasama terbabit kerana sudah dapat melihat PPBM akan dipergunakan oleh DAP untuk mengawal PAS secara tidak langsung. Malah keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi juga menunjukkan parti itu tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP yang bersifat angkuh dengan PAS sebelum ini.

 

Pada Jun 2015, Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP. Usul itu diluluskan kerana tidak puas hati terhadap DAP yang menyerang tanpa henti peribadi Abdul Hadi dan parti Islam itu sendiri.

 

Apa yang pasti tanpa PAS, sukar DAP untuk meraih undi Melayu. PPBM masih baru, akar umbinya tidak sehebat UMNO manakala PAN pula adalah parti serpihan, maka memang tidak dinafikan PAS akan memainkan peranan yang besar jika ia berada di dalam Pakatan Harapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: