Lebih Ramai Pemimpin DAP Akan Keluar Parti Kerana Isu Rasuah Lim Guan Eng

DAP menerima tamparan apabila empat wakil rakyat dari Melaka mengumumkan untuk keluar parti dengan alasan kepimpinan DAP telah membelakangkan ahli-ahlinya selain hilang kepercayaan terhadap Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

 

Mereka yang mengambil keputusan mengejutkan itu ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jack Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong.

 

“Saya amat kecewa DAP kini telah menyimpang daripada perjuangan sebenarnya dan hanya sekadar memuaskan nafsu sesetengah individu yang bertentangan dengan prinsip asal parti Malaysia Untuk Malaysia,” kata Tong Him pada sidang media semalam.

 

Apa yang pasti tindakan keluar parti itu tidak akan terhenti di situ sahaja sebaliknya lebih ramai pemimpin DAP yang lain dikatakan akan berbuat demikian termasuk di Kedah dan Johor.

 

Melihat kepada keadaan tersebut, ia menunjukkan bahawa isu rasuah yang dihadapi oleh Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberikan tamparan yang hebat dan cabaran yang besar kepada DAP, apatah lagi perbicaraan kes rasuah itu akan bermula pada 27 Mac ini.

 

Dalam kes rasuah itu, ramai orang Cina melihat banyak bukti dianggap sebagai betul dan ia menunjukkan Guan Eng cakap tak serupa bikin, kerana beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan kononnya terlibat dalam penyelewengan 1MDB, tetapi beliau sebaliknya masih memegang jawatan.

 

Berbeza dengan Najib, pihak berkuasa yang menjalankan siasatan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai oleh pembangkang telah mengesahkan bahawa Najib bebas daripada tuduhan tersebut.

 

Namun Guan Eng pula telah dihadapkan di mahkamah dengan dua tuduhan rasuah melibatkan pembelian rumah banglo di Pulau Pinang. Meskipun diasak banyak pihak supaya meletak jawatan, namun Guan Eng enggan berbuat demikian.

 

Keadaan ini secara tidak langsung turut menyebabkan pergolakan dalam DAP dan ia dikatakan akan reda sekiranya Guan Eng meletak jawatan serta tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

 

Beliau perlu meletak jawatan jika mahu menunjukkan bahawa DAP adalah sebuah parti yang tegar memperjuangkan unsur rasuah.

 

Mungkin menyedari keadaan itu maka Guan Eng pada sidang medianya semalam mengelak daripada mengulas mengenai tindakan empat wakil rakyat parti itu dari Melaka yang keluar parti dengan alasan media Barisan Nasional (BN) turut berada di situ.

 

Guan Eng memilih untuk memberikan kenyataan yang dijangka dikeluarkan hari ini.

 

Apa pun isu empat wakil rakyat Melaka ini telah memberikan kesan besar kepada DAP ketika ia sedang bersiap sedia untuk berdepan dengan PRU-14 dan dengan perkembangan terkini itu, DAP kini sedang berdepan dengan masalah dalaman yang berat.

 

Tulisan :
Beruang Biru
BB278, Isnin
13 Februari 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: