Lelaki Jepun Tertawan Sikap Peramah Gadis Melayu, Kagum Bertudung Di Cuaca Panas

SHAH ALAM — Hampir enam bulan berada di Malaysia, seorang pelajar Jepun akui tertawan dengan sikap peramah gadis Melayu selain memiliki mata bundar yang menarik.

 

Biarpun masih menyesuaikan diri dengan cuaca di sini, Masaya Ono, 21, turut kagum wanita Islam mampu bertudung biarpun dalam keadaan cuaca panas terik, petik ProjekMMO.

 

“Saya suka tengok mereka. Mata bulat, sangat peramah. Saya sudah biasa tengok gadis mata sepet [di Jepun]. Di sini fesyen tudung juga pelbagai.

 

“Tetapi apa yang lebih saya kagum apabila melihat mereka mampu bertudung dalam cuaca sebegini. Tidak panaskah?”

 

“Saya yang berpakaian tidak tebal ini pun sudah rasa sangat panas,” katanya.

 

Mahasiswa Universiti Bunkyo Gakuin itu merupakan seorang peserta pertukaran pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Anak bongsu, daripada dua beradik, dari Kanagawa itu juga mengakui amat selesa dengan budaya di Malaysia sehingga ingin kembali selepas tamat pengajiannya di sana tahun depan.

 

“Julai ini saya akan tamat belajar [di Malaysia] dan habiskan belajar [di Jepun] sehingga tahun depan. Saya amat berminat untuk mencari kerja di Malaysia.

 

“Saya mahu berhijrah ke negara orang untuk pengalaman yang berharga. Di Malaysia juga tenang. Saya suka tinggal di sini,” kata pelajar ijazah kajian budaya dan antarabangsa itu.

 

Tambahnya jika ada peluang ke Malaysia dia mahu bekerja di sini dengan majikan Malaysia.

 

Selain gadis Malaysia, Masaya jatuh cinta pada makanan negara ini. Baginya, Malaysia ini “syurga makanan” khususnya jenis berempah yang tidak ditemui di negaranya.

 

“Apabila teringat Malaysia, hanya satu dalam fikiran saya, syurga makanan. Negara berbilang kaum dengan makanan yang enak.

 

“Saya suka makan pedas-pedas seperti sambal ayam. Saya juga suka ke kedai mamak makan nasi bersama kuah kari banjir.

 

“Di sini, setiap makanan digoreng dan dimasak dengan rempah. Di Jepun, kami selalunya panggang dan makan mentah. Tiada rempah,” katanya yang mengikuti program lawatan UiTM di Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

 

Katanya, orang kampung di Grik teruja melayannya namun dia kurang faham dengan loghat negeri tersebut.

 

Katasnya, pengalaman di kampung juga memberikannya satu suasana baharu. Malah dia tidak kisah digigit nyamuk.

 

Bagaimanapun terkejut apabila tandas berada di luar rumah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: