Peniaga ‘Food Truck’ Kongsi Tips Mulakan Bisnes

TREND membeli atau menikmati makanan menerusi food truck atau trak makanan semakin popular dalam kalangan rakyat negara ini, yang mana perniagaan ala-ala ‘hipster’ ini telah lama popular di negara Barat.

 

Atas permintaan dan sambutan yang semakin mengalakkan dalam kalangan warga kota, ia secara langsung telah membuka peluang menjana pendapatan dalam kalangan generasi muda dan mereka yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan.

 

Di Malaysia, Selangor menjadi negeri pertama mengeluarkan lesen perniagaan berkonsepkan food truck bagi membenarkan pengoperasian perniagaan di beberapa kawasan perbandaran seluruh negeri.

 

Malah, beberapa lokasi seperti di Jalan Ampang dan TAPAK, merupakan tempat yang dianggap paling ‘meriah’ dengan perniagaan food truck, di mana ia menjadi lokasi sesuai untuk warga kota bersantai dan menghabiskan masa lapang setiap hari.

 

Sejajar dengan peredaran dan perkembangan positif perniagaan menjual makanan di atas lori pikap ini, Malaysian Digest mendapatkan penjelasan lanjut daripada seorang yang berpengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B) bagi berkongsi bagaimana untuk memulakan perniagaan ini.

 

Menurut Fakharudin Nasir, yang kini bertugas sebagai pengurus bahagian perkhidmatan makanan di Pelabuhan Tanjung Pelepas Gelang Patah Johor, langkah awal termasuk mengenal pasti produk, modal perniagaan dan jumlah tenaga kerja yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan tersebut perlu diambil kira sebelum food truck beroperasi.

 

“Seterusnya, pilih lokasi yang sesuai yang mampu menarik pelanggan dan akhir sekali, berikan yang terbaik dan mulakan perniagaan,” katanya.

 

Dari segi mencari idea terbaik dalam perniagaan dan bagaimana peniaga muda food truck perlu membuat keputusan, Fakharudin menasihatkan mereka yang mahu memulakan sesuatu perniagaan supaya mencari perniagaan yang memenuhi permintaan semasa dalam pasaran.

 

“Untuk menentukan pembuatan keputusan mereka, mereka perlu melakukan unjuran jualan tahunan untuk melihat untung dan rugi, dan barulah mereka akan dapat menentukan pulangan pelaburan mereka,” jelasnya.

 

Mengulas mengenai berapa lama tempoh yang diperlukan untuk seseorang memulakan perniagaan atas trak mereka, Fakharudin berkata ia bergantung kepada berapa banyak modal perniagaan individu itu.

 

“Jika mereka tidak mempunyai pengalaman (dalam perniagaan), mereka perlu mendapatkan khidmat perunding dalam bidang F&B.

 

“Biasanya apabila mereka sudah selesai menjalani modul latihan yang ditetapkan oleh perunding, mereka (peniaga) akan lebih bersedia dari segi mental,” katanya.

 

Memandangkan persaingan yang semakin sengit dalam perniagaan food truck, Fakharudin menegaskan bahawa penjenamaan dan kualiti memainkan faktor penting dalam membina hubungan dengan pelanggan.

 

“Untuk permulaan, cuba libatkan diri dengan pelanggan korporat dalam menjual jenama (perniagaan) anda,” nasihat beliau, yang mana cara tersebut boleh membantu membina hubungan dalam industri.

 

Tambahnya, operasi perniagaan food truck pada waktu puncak dan lokasi yang sesuai perlu dikenal pasti dalam merancang strategi perniagaan.

 

“Ada yang membuat kajian berdasarkan jenis bangunan, faktor demografi dan kemampuan perbelanjaan pelanggan disamping memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan,” katanya.

 

Fakharudin turut menyarankan peniaga yang mahu menjalankan perniagaan food truck supaya menggunakan wang simpanan mereka sebagai permulaan, namun sekiranya berdepan dengan masalah kewangan, permohonan boleh dibuat dengan agensi-agensi yang menawarkan pinjaman perniagaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), TEKUN atau Dewan Perniagaan Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: