Cadangan Guna Beg Kitar Semula Di Pasaraya

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kepada pengguna agar menggunakan beg kitar semula yang mudah lupus bagi menjayakan kempen tanpa beg plastik di pasaraya.

 

Ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata ini berikutan aduan ramai pengguna yang kesal pasaraya mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik untuk mengisi barangan dibeli.

 

Nadzim mempersoalkan rancangan menggunakan wang kutipan daripada penjualan beg plastik untuk aktiviti pemeliharaan alam sekitar.

 

“Kerajaan negeri (Selangor) kata duit kutipan jualan beg plastik ini akan digunakan untuk aktiviti pemeliharaan alam sekitar, tapi apakah aktiviti yang dilakukan?.

 

“Sehingga kini PPIM lihat tiada sebarang aktiviti pemeliharan alam sekitar dijalankan,” katanya pada sidang media mengenai pengharaman penggunaan beg plastik secara percuma di pasaraya, di sini hari ini.

 

Nadzim mengulas keputusan kerajaan Selangor menguatkusakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin di semua pasaraya mulai 1 Jan lepas.

 

Sementara itu, beliau berkata kementerian berkaitan perlu merancang kaedah terbaik bagi memastikan matlamat peraturan berkenaan dicapai serta tidak membebankan pengguna.

 

“Pelaksanaan peraturan itu perlu dilakukan secara menyeluruh di semua negeri dan pengguna juga perlu ditekankan dengan peraturan tersebut melalui galakan membeli beg kitar semula atau beg terbiodegradasi (mudah lupus) yang mesra alam.

 

“Pengguna tidak seharusnya membeli beg plastik seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pasaraya kerana cara itu hanya menguntungkan pengusaha kedai,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *