Ribut Musim Sejuk Landa Eropah

 

LONDON – Ribut musim sejuk melanda Eropah dan mengakibatkan 330,000 kediaman di Perancis terputus bekalan elektrik, sejumlah penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan, manakala dua wanita turut terbunuh.

 

Di Britain, kerajaan mengeluarkan 12 amaran banjir dan menggesa beribu-ribu penduduk yang tinggal di tepi pantai supaya berpindah pada Jumaat lalu.

 

Ribut kuat itu, Egon turut membadai Belgium dan Jerman dengan lapangan terbang Frankfurt terpaksa membatalkan sebanyak 120 penerbangan, lapor media Jerman.

 

Syarikat pengangkutan Eurostar membatalkan perkhidmatan dua kereta apinya melibatkan laluan London dan Paris, manakala 180 penumpang bermalam dalam keadaan gelap dan sejuk di dalam sebuah kereta api berkelajuan tinggi Thalys.

 

Kereta api itu yang bergerak dari Brussels menuju ke Paris tiba di destinasinya lewat 10 jam daripada jadual.

 

“Kami berhenti di landasan sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan). Bekalan elektrik terputus, menyebabkan penumpang kesejukan tanpa sistem pemanas,” kata seorang penumpang kereta api Thalys, Eduardo Soteras.

 

Di Perancis pula, seorang wanita maut dihempap pokok tumbang di hadapan rumahnya dekat Nice, manakala seorang wanita lain ditemui mati pada Khamis lalu di luar rumahnya di bandar Saranda, Albania.

 

“Mangsa ditemui mati di hadapan anak-anaknya. Suami mangsa cuba menyelamatkannya dengan memotong pokok itu tetapi gagal,” kata seorang jurucakap polis berhubung kejadian di Perancis.

 

Dalam pada itu, angin kencang selaju 146 kilometer sejam membadai pelabuhan Perancis, Dieppe, manakala beberapa bahagian di Jerman dilitupi salji setebal 30 sentimeter, lapor jabatan kaji cuaca Jerman.

 

Cuaca sejuk melampau telah membunuh lebih 60 orang di Eropah dengan golongan gelandangan dan imigran yang terperangkap di negara-negara seperti Greece dan Serbia merupakan mereka yang paling teruk terjejas. – AFP/Kosmo

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *