TMJ Tidak Kisah Walaupun Dikecam Penyokong Faiz Subri

KUALA LUMPUR – Selepas dikecam pelbagai pihak semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sekali lagi tampil membuat kenyataan berhubung kemenangan Mohd Faiz Subri hanya untuk mengelakkan semua pihak lupa dengan keadaan sebenar bola sepak di Malaysia.

 

“Jangan berasa selesa berada di langit dengan pencapaian tersebut hingga mengabaikan bola sepak negara kita untuk 6 bulan seterusnya.

 

“Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan kerana pencapaian bola sepak kita masih jauh ketinggalan,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

 

Kejayaan Faiz, yang bermain untuk pasukan Pulau Pinang, merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi jaringan paling cantik sepanjang tahun lalu disambut hebat warga Malaysia dari setiap latar belakang.

 

Namun TMJ semalam berkata kejayaan itu tidak bermakna kerana tidak menggambarkan keadaan sebenar bola sepak negara dan mempersoalkan masalah korupsi, kedudukan dunia dan sistem pengurusan pasukan negara.

 

Ia dikongsi secara meluas di media sosial, dengan kebanyakannya mengkritik kenyataan tersebut.

 

Beliau yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)) itu berkata hanya “40%” tidak memahami kenyataannya, namun tidak terlalu kisah akannya.

 

“Terpulang kepada mereka. Saya tidak boleh mengawal pemikiran mereka,” katanya lagi.

 

TMJ juga sempat meluahkan rasa simpati kepada Faiz yang menurutnya akan dipergunakan media dan ahli politik untuk meningkatkan populariti masing-masing.

 

“Apa-apa pun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya lagi.

 

Beliau juga berkongsi sasaran JDT bagi musim depan, dengan kedudukan 4 terbaik dalam Liga Super, suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia, serta mencuba yang terbaik bagi kejohanan peringkat Asia.

 

Katanya lagi, kewangan JDT juga berada dalam keadaan baik ekoran penjualan beberapa pemain import serta kewujudan Yayasan JDT, dan menjadi bukti kelab tersebut boleh menjana wang.

 

Beliau juga maklum dengan masalah pengurusan kewangan pasukan Kelantan tetapi enggan masuk campur dengan hal tersebut.

 

TMJ sebelum ini terlibat dalam pertikaman lidah dengan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baru dilantik, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: