Tiada lagi ‘Ooo-Haa’ Dan ‘You-You’ Dari Tok Nan


Oleh: Zulkifli Mat Rawi

 

KUALA LUMPUR – Perkara pertama yang terlintas di kepala apabila mendengar nama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Nan’ pastinya adalah ungkapan ‘Ooo-Haa dan You-You’.

 

Malah Ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu, Tok Nan sering melaungkan Ooo-Haa dan You-You setiap kali keluar berkempen terutamanya di kawasan luar bandar.

 

Laungan bersahaja Ooo-Haa dan You-You oleh Tok Nan akan dibalas dengan laungan serentak Ooo-Haa oleh penduduk tempatan.

 

Respon balas ungkapan yang mendapat tempat di hati rakyat itu menunjukkan beliau disenangi ramai, kerana rata-rata rakyat Sarawak selesa dengan sikap dan keperibadian beliau yang ‘sempoi’.

 

Malah paling menarik, apabila beliau amat tidak menyukai protokol yang panjang apabila menyebut namanya.

 

Walaupun mempunyai air muka yang garang, namun mereka yang pernah berjumpa dengan beliau secara peribadi pasti dapat merasa kemesraan beliau yang gemar berjenaka dan ‘murah’ dengan senyuman.

 

Berbalik kepada ungkapan keramat ‘Ooo-Haa’ Tok Nan ketika menjelaskan maksud ungkapan tersebut berkata, ia adalah ungkapan kaum Iban untuk berhimpun.

 

“…bagi saya ia bermakna ‘Saya Sayang Sarawak’,” kata Tok Nan ketika menjelaskan maksud ungkapan tersebut suatu ketika dahulu,” katanya suatu ketika dahulu.

 

“You-You’ itu pula kata Tok Nan membawa maksud seruan sesama sahabat atau lebih tepat membawa maksud ‘tahu sama tahu’.

 

Berumur 72 tahun ketika itu, Tok Nan juga turut disenangi rakan-rakan media, walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizin kerana terlalu sibuk berkempen, Tok Nan tidak pernah menghampakan setiap persoalan media yang diajukan.

 

Malah ketika diaju dengan soalan-soalan berbaur provokasi daripada pelbagai aliran media, beliau tanpa sebarang rasa prejudis akan menjawab setiap persoalan, satu sifat yang jarang dimiliki oleh ahli politik yang lain.

 

Bagaimanapun, ungkapan ‘Ooo-Haa’ dan ‘You-You’ dari Tok Nan itu tidak lagi dapat didengari apabila Ketua Menteri Sarawak yang ke-5 itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan pada jam 1.20 petang tadi kerana komplikasi jantung.

 

Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, dimasukkan ke Pusat Jantung HUS kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.
Beliau yang dilahirkan pada 1944 sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 27 Januari ini.

 

Allahyarham mula menjawat jawatan ketua menteri pada 28 Februari 2014 selepas Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengemukakan peletakan jawatannya pada 11 Februari setelah menerajui Sarawak selama 33 tahun. – SuaraTV


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


FACEBOOK SUARA TV


TOP POST DAN PAGES

ARKIB BERITA

© Suara TV. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS.

Powered by WordPress. SuaRa.TV theme by TheJay.