Samsung Gear Sokong Sistem Operasi iOS

KUALA LUMPUR – Samsung Electronics mengumumkan keserasian sokongan sistem operasi iOS untuk semua peranti Gear baharu termasuk Gear S3, S2 dan Fit2.

 

Menurut syarikat teknologi Korea itu, pengguna boleh mula memuat turun aplikasi Samsung Gear S bagi peranti Gear S2 dan S3, serta Samsung Gear Fit bagi Gear Fit2 menerusi Apple Store.

 

Jelasnya, selepas aplikasi tersebut dimuat turun, pengguna akan diberi petunjuk mengenai langkah-langkah untuk menyambungkannya dengan kesesuaian peranti boleh pakai Samsung.

 

Tambah syarikat itu, perkhidmatan dan ciri-ciri aplikasi iOS tersebut mungkin terhad kepada sesuatu peranti dan tidak seperti aplikasi asal peranti Samsung Gear.

 

“Walaupun terdapat perbezaan ciri dan fungsi mengikut peranti, pengguna iOS berpe­luang menikmati peranti Samsung S3 yang bergaya, kalis debu dan air, sistem pengesan global (GPS) serta aplikasi barometer dan speedometer.

 

“Selain itu, pengguna juga dapat memanfaatkan fungsi pengesan kecergasan dengan pemantauan jarak dan laluan perjalanan, kadar berjalan, kalori yang dibakar serta denyutan jantung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Jam pintar Samsung terbaharu, Gear S3 didatangkan dalam dua rekaan iaitu Gear S3 frontier yang kelihatan lasak dan Gear S3 classic dengan gaya moden dijual pada harga RM1,399 seutas.

 

Menurut Samsung, peranti Apple yang menyokong jam tangan pintar itu perlu menggunakan iOS 9.0 termasuk rangkaian iPhone iaitu 5, 5S, 5C, 6, 6 Plus, 6S, 6S Plus, 7, 7 Plus dan SE.

 

Orang ramai boleh melayari http://www.samsungmobilepress.com untuk maklumat tambahan berkenaan tawaran tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: