Najib Ucap Takziah Kematian Kematian Ketua Menteri Sarawak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menyampaikan ucapan takziah kepada Puan Sri Jamilah Anu dan keluarganya di atas kematian suami beliau Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

 

Menurut Perdana Menteri, beliau merasa amat sedih dan akan bergegas ke Sarawak untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Adenan.

 

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tan Sri Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah. Takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya akan ke Sarawak untuk menziarahi jenazah.

 

“Jasa Allahyarham kepada negeri dan rakyat negeri Sarawak amat besar, dan Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin berwibawa. Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di laman Twitter beliau pada Rabu.

 

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, 72 meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kota Samarahan pada pukul 1.20 petang kerana komplikasi jantung.

 

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui akaun Twitter turut menyampaikan ucapan takziah untuk keluarga Adenan.

 

“Takziah kepada Puan Sri Jamilah & keluarga & rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah,” katanya.

 

Ekoran keadaan kesihatannya, Adnan sebelum ini telah dinasihati doktor agar berehat di rumah dan tidak terlalu kerang terbabit dalam kegiatan di luar.

 

Adenan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu dilantik sebagai ketua menteri pada 28 Februari 2014.

 

Adenan yang mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik – memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979 meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

 

Adenan mencatatkan satu sejarah baru untuk negeri Sarawak apabila menjadi etnik Melayu yang pertama menerajui negeri itu selaku ketua menteri. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: