‘Malaysiakini Buktikan Rafizi Penipu, Lebih Teruk Dari Hantu’

KUALA LUMPUR – Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) menyatakan penghargaan kepada lidah rasmi pembangkang Malaysiakini ekoran membuktikan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai pembohong.

 

Pasukan Komunikasi Strategik BN menerusi satu kenyataan berkata, usaha seumpama ini wajar diteruskan agar pembohongan pembangkang dapat dihentikan, lantas berhenti dari terus berusaha untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.

 

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada wartawan Malaysiakini terdiri daripada Alyaa Azhar, Aidila Razak dan Nigel Aw yang membuat pengesahan fakta dalam persoalan mengenai projek MRT antara pihak kami dan Ahli Parlimen Pandan dari PKR, YB Rafizi Ramli,” kata kenyataan tersebut.

 

Jelas kenyataan tersebut, seperti telah dijelaskan sebelum ini, Malaysiakini turut bersetuju bahawa Rafizi berbohong dalam banyak perkara berhubung pembinaan keretapi Mass Rapid Transit (MRT) antaranya termasuk kos pembinaan RM21 bilion bagi laluan sepanjang 21 km sedangkan laluan sebenar adalah 51 km.

 

“Rafizi turut menggunakan satu projek terowong kosong di Barcelona dengan mendakwa ia adalah satu projek MRT lengkap dalam usahanya untuk membuat perbandingan seterusnya menuduh projek MRT Malaysia adalah lebih mahal daripada projek di Sepanyol itu.

 

“Rafizi turut menggunakan maklumat daripada blog WordPress tidak sahih menggunakan nama ‘Pedestrian Observation’ dimana ia telah dibuktikan silap,” katanya merujuk kepada dua contoh projek MRT paling murah dan menuduh kerajaan terlebih bayar – Laluan Seoul 9, Korea dan Projek Terowong Sants-La-Sagrera, Barcelona.

 

Tambah kenyataan tersebut, tindakan ahli parlimen memperdaya dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan menggunakan fakta terpesong sangat memalukan, malah sehingga kini tiada permohonan maaf dibuat oleh ahli politik PKR tersebut.

 

“Apapun, kami tidak terlalu berharap beliau akan ‘jujur’ untuk berbuat demikian.

 

Beliau turut berulangkali menggelar kami ‘hantu’ tetapi Malaysiakini sudahpun menunjukkan YB Rafizi ini lebih teruk daripada hantu,” katanya.

 

Ujarnya lagi, tindakan Rafizi mengulangi pendiriannya berhubung kos MRT yang sudah terbukti tidak tepat “secara tidak langsung mendedahkan akal pendek Rafizi dan Pakatan.”

 

Katanya lagi, pengangkutan awam efisien seperti MRT merupakan pelaburan yang akan kekal berdekad lamanya disamping mengurangkan tekanan akibat kesesakan jalanraya serta meningkatkan taraf hidup.

 

“Kami juga terkejut kerana Rafizi tidak memiliki pandangan jauh dan pemikiran tidak strategik dan berterusan menggunakan isu ini biarpun mengetahui manfaat kepada kerajaan dan rakyat adalah melangkaui kos yang dibelanjakan, terutama apabila kos untuk projek MRT Malaysia ini tidak terlalu mahal,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: