KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi memberi kebenaran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Muhammad Zahid Md Arif bagi mencabar tindakan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan laporan audit 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipa Farikulla membenarkan permohonan tersebut selepas mendapati permohonan itu mempunyai merit untuk didengar.

 

Mahkamah menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak responden.

 

Dalam permohonan itu mereka menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

 

Berdasarkan afidavit sokongannya, Azmin menuntut Laporan Audit Negara berhubung 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam.

 

Antara lain, Timbalan Presiden PKR itu menyatakan alasan bahawa Ambrin tidak mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan laporan tersebut sebagai rahsia rasmi kerana kuasa untuk berbuat demikian menurut Seksyen 2B OSA hanya terserah kepada pegawai awam.-Sinar