Kategori: Jenayah, Terkini

Audit Dalaman Dedah Penipuan RM1 Juta Babit Empat Pegawai Imigresen


PETALING JAYA – Empat pegawai Jabatan Imigresen Selangor ditahan kerana disyaki menerima dan memproses permohonan pasport antarabangsa secara tidak amanah.

 

Mempunyai akses kepada pangkalan data pemohon, mereka dipercayai telah melakukan tindakan yang ‘lebih’ daripada skop kerja masing-masing.

 

Suspek akan mengambil sejumlah RM200 yang dibayar oleh pemohon pasport Malaysia antarabangsa (PMA) dan menukar maklumat di dalam sistem bahawa pemohon itu adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

 

Permohonan PMA bagi OKU adalah percuma.

 

Pegawai-pegawai yang ditahan dikatakan telah memperolehi habuan besar kira-kira RM1 juta dengan cara ini sejak 2014.

 

Audit dalaman yang dijalankan baru-baru ini telah mendedahkan muslihat ini.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam pada pukul 3.30 petang Isnin dan menahan empat pegawai, dua daripadanya wanita.

 

Empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk ditahan reman selama enam hari.

 

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang melibatkan nilai tuntutan palsu dengan niat untuk menipu.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan dan menyifatkan kes itu sebagai ‘sangat serius dan memerlukan siasatan sangat teliti.’

 

“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa penipuan ini mungkin juga berlaku di pejabat-pejabat Imigresen lain di seluruh negara.

 

“Ini bukan kes terpencil dan perlu ditangani,” katanya.

 

Seorang pegawai SPRM berkata, suspek dipercayai terlibat dalam penyerahan baucar bayaran dengan maklumat palsu.

 

“Rekod itu diubah dengan menunjukkan pemohon merupakan OKU tetapi pemohon itu sebenarnya bukan OKU, ” paegawai itu menambah.

 

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kerjasama penuh telah diberikan kepada SPRM dan hasil audit dalaman tersebut telah dikongsi. – mstar


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


FACEBOOK SUARA TV


TOP POST DAN PAGES

ARKIB BERITA

© Suara TV. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS.

Powered by WordPress. SuaRa.TV theme by TheJay.