‘Adenan Luar Biasa, Pernah Berdepan Tauke Balak’

Allahyarham Tan Sri Adenan Satem merupakan seorang pemimpin luar biasa yang membawa perubahan besar kepada negeri Sarawak, walaupun memimpin negeri itu dalam masa yang singkat.

 

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berkata Allahyarham membuat dasar-dasar yang membawa keuntungan kepada rakyat dan negeri Sarawak serta begitu lantang memperjuangkan hak negeri itu tanpa gentar atau pilih kasih.

 

“Antara yang tidak boleh dilupakan ialah Allahyarham, sebaik menjadi Ketua Menteri, memanggil tauke-tauke balak di Sarawak berdepan dengan beliau dan mengatakan ‘enough is enough’, cukuplah…beliau tidak lagi mahu perkara seperti pembalakan haram dan beliau akan bertindak tegas sekiranya perkara itu berlaku,” katanya.

 

Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.20 tengah hari ini di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching berikutan komplikasi jantung, 16 hari sebelum ulang tahun ke-73 kelahirannya.

 

Allahyarham menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb, 2014. Adenan telah membawa Barisan Nasional mencapai kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei, 2016.

 

Azman berkata Allahyarham juga membuat dasar untuk tidak lagi memberi konsesi balak yang banyak diberi sebelum ini bagi menyelamatkan hutan Bumi Kenyalang itu.

 

“Akhir-akhir ini beliau mengemukakan dasar transformasi pembangunan luar bandar yang memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar, sebab itu beliau mahu royalti minyak yang kini lima peratus dinaikkan kepada 20 peratus,” katanya.

 

Azman, yang mengenali Adenan secara peribadi, berkata Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang berbakat besar serta amat merendah diri dan kehilangannya bakal dirasai rakyat Sarawak.

 

“Beliau sangat merendah diri, tidak mahu dipanggil Yang Amat Berhormat, dalam acara rasmi juga dilarang disebut gelaran yang panjang, just call me Chief Minister atau Adenan kerana itu nama yang diberi ibu saya,” katanya sambil mengimbas kembali pertemuan kali terakhir mereka pada sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak pada 16 Sept tahun lepas.

 
Kata Azman, beliau dan Allahyarham Adenan mempunyai sedikit persamaan kerana Ketua Menteri Sarawak itu bermula sebagai wartawan di akhbar tempatan, Sarawak Tribune sebelum meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang di Adelaide University, Australia dan kemudian menyertai politik.

 

Dalam pada itu, Azman yang merupakan anak kelahiran Kuching, Sarawak berharap negeri itu akan terus stabil dan maju di bawah kepimpinan baharu kelak.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: