Tolak Kerja Makan Gaji Untuk Buka ‘Warung Soho’

Menggenggam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, apa yang terbayang di fikiran sudah tentu kerjaya dengan gaji empat angka di dalam bilik berhawa dingin dan berkerusi empuk. Masakan tidak, bertahun-tahun mendaki tangga menara gading, berkorban masa dan wang ringgit, sudah tentu kini mahu ‘menuai’ hasilnya.

 

Namun, tidak semua mempunyai gambaran yang sama. Ada yang mahu berfikir di luar kotak, bukan menjadikan segulung ijazah sebagai lesen mengejar pangkat kerana bagi mereka, yang lebih bernilai adalah ilmu yang diraih.

 

Itu yang cuba dibuktikan anak muda berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, Che Bakri Shafie, 27, yang sejak di universiti lagi sudah dapat melihat arah tuju masa depannya dalam bidang perniagaan.

 

Orang lain mungkin tidak memilih pekerjaan yang dia lakukan sekarang kerana tidak sepadan dengan segulung ijazah yang dimiliki, tetapi bagi Che Bakri, bekerja makan gaji tidak akan memberikannya kecukupan hidup apatah lagi hidup di bandaraya Kuala Lumpur.

 

Oleh itu, bermula di tahun dua pengajian, dia sudah mula berniaga baju Melayu diberi jenama Oasis Men. Projek yang hanya berjalan pada bulan puasa itu bertahan empat tahun.

 

Selepas tidak lagi menjual baju Melayu, anak keenam daripada lapan beradik ini melibatkan diri dengan pengurusan acara pula yang dinamakan Soho Bazaar. Namun, oleh kerana kurang sambutan kerana terdapat pengurusan acara yang lebih besar maka dia tidak meneruskannya.

 

“Bulan Ramadan 2015, saya terfikir hendak berniaga sesuatu yang ‘segar’. Saya mahu membuka kedai makan kerana walaupun ekonomi merosot orang tetap akan makan.

 

“Bagaimanapun sebelum mula berniaga makanan, saya harus mempersiapkan diri dengan ilmu masakan. Saya memilih menjual nasi berlauk kerana di Kuala Lumpur terdapat ramai orang Kelantan yang akan tetap mencari makanan Kelantan.

 

“Bulan Ogos tahun yang sama, saya pulang ke kampung dan belajar masak nasi berlauk daripada emak selama enam bulan. Saya gigih belajar walaupun selama ini memasak nasi pun tidak pandai.

 

“Pada saya, jika hendak berniaga makanan, kita sendiri mesti pandai memasak. Jangan mengharap atau mengupah tukang masak kerana jika mereka tiada, perniagaan akan terjejas.

 

“Bulan April tahun 2016, saya menyewa gerai di Plaza Damas. Saya tidak menyangka sambutan cukup memuaskan kerana di sini belum ada lagi yang berniaga nasi berlauk.

 

“Ramai yang tidak percaya apabila diberitahu, saya yang memasak nasi berlauk ini kerana mereka beritahu, terasa seperti hidangan lama yang dimasak oleh ibu mereka.

 

“Sehingga sekarang, saya tidak menyangka boleh sampai ke tahap ini. Pelanggan saya terdiri daripada semua golongan termasuk orang kenamaan (VIP), selebriti dan ramai lagi. Saya turut membuat perkhidmatan penghantaran ke KLCC, Menara Petronas dan KL Central,” kata Che Bakri yang turut mempromosi perniagaannya melalui mulut ke mulut, Facebook dan ulasan selebriti malah kini mempunyai seramai 22,000 pengikut di laman Instagram.

 

Menurutnya, berniaga makanan ini perlu betul-betul cekal dan tidak mudah berputus asa. Dia sendiri yang ke pasar membeli bahan-bahan yang diperlukan seperti 50 ekor ayam, 10 kilogram ikan tongkol dan 30 kilogram beras.

 

Katanya, pukul tujuh pagi dia sudah mula memasak sambil dibantu pekerjanya. Pukul 10.30 pagi, pelanggan sudah mula boleh membeli sehingga ke pukul 4.30 petang.

 

Masih bujang, Che Bakri berkata, dia gembira dengan apa yang dilakukan sekarang. Melihat dia berjaya, kawan-kawannya yang kini dalam bidang profesional turut tertarik untuk memulakan perniagaan.

 

Namun nasihatnya kepada golongan muda yang tidak mahu bekerja makan gaji dan memilih untuk berniaga makanan, belajar dan timba pengalaman dahulu.

 

Hidangan nasi berlauk ini katanya ringkas sahaja. Hanya ‘bermodalkan’ ayam kampung goreng, ayam goreng kunyit, gulai ikan tongkol, sambal belacan dan ulam timun, sudah cukup membuat Che Bakri tidak menang tangan.

 

Bagi mempastikan Warung Soho tidak ditiru, dia mendaftarkan nama warungnya di Perbadanan Harta Intelek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *