Indonesia ‘Ajar’ Bank-Bank Asing

JAKARTA – Indonesia mahu memperkenalkan dasar yang lebih ketat terhadap bank-bank yang dilantik untuk mengendalikan instrumen hutang negara itu, agar lebih bertanggungjawab semasa membuat laporan pasaran dengan tidak merendahkan-rendahkan reputasi negara berkenaan.

 

Hasrat itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Indonesia menamatkan hubungannya dengan bank Amerika Syarikat (AS), J.P. Morgan Chase & Co. (JP Morgan) kerana mendakwa bank tersebut memberi penarafan yang rendah terhadap Indonesia.

 

Menurut Kementerian Ke­wang­an Indonesia kepada The Wall Street Journal pada Sabtu lalu, perbincangan untuk melaksanakan dasar akan dibuat hari ini membabitkan 19 buah institusi kewangan yang bertindak sebagai pedagang bon-bon kerajaan Indonesia

 

Jelas Pengarah Portfolio Hutang dan Strategi kementerian itu, Schneider Siahaan, dasar baharu itu bertujuan memastikan bank-bank tidak mengeluarkan laporan yang boleh menjejaskan pasaran selain membezakan laporan untuk edaran dalaman dan kepada orang ramai.

 

“Asasnya, langkah tersebut mahu mengurangkan nada-nada dan kesan-kesan negatif,” katanya.

 

Langkah itu bermula apabila JP Morgan menurunkan penarafan Indonesia termasuk menjangka pasaran bon negara itu tidak menentu susulan kemenangan Do­nald Trump sebagai Presiden AS pada November lalu. Selain Indonesia, bank AS itu turut menurunkan nilai pasaran Brazil dan Turki.

 

Pegawai-pegawai Kewangan Indonesia menyifatkan laporan tersebut tidak mempunyai kredibiliti serta boleh menjejaskan sistem ke­wangan negara berkenaan. Berikutan itu, kerajaan Indonesia memutuskan hubungannya dengan JP Morgan termasuk mengeluarkan bank itu daripada senarai pedagang bon-bon kerajaan. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *