Video: “Suara Orang Mengaji, Azan Dalam Hutan Di Taman Negara”

JERANTUT – Taman Negara yang terletak di sempadan tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu merupakan antara destinasi perlancongan bertaraf antarabangsa yang sering menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.

 

Namun mutakhir ini bilangan pelancong yang berkunjung taman yang berusia 130 juta tahun itu dikatakan semakin menurun saban tahun.

 

Pengunjung khususnya pelancong tempatan dikatakan terpengaruh dengan kisah-kisah mistik dan penunggu yang didakwa akan menganggu pelancong yang ingin menerokai hutan yang berkeluasan 4,343 kilometer persegi itu.

 

Menurut salah seorang pemandu pelancong Zalizan Shim, 34 dahulu di hutan tropika tertua di dunia itu memang sering berlaku kejadian mistik seperti yang sering dihebahkan.

 

“Pengalaman (menakutkan) sepanjang (saya) menjadi pemandu pelancong ini berlaku pada tahun 2004 ketika saya melakukan aktiviti rentis ke Gunung Tahan, masa itu kita bermalam di Kem Teku

 

“Pada malam itu, kami mendengar suara orang mengaji, azan tapi kami tidak pasti (siapa) kerana tapak perkhemahan kami berada di seberang sungai (kaki pergunungan),” katanya ketika temuramah eksklusif bersama SuaraTV baru-baru ini.

 

 

Namun Zalizan yang lebih dikenali sebagai Awang berkata, kini perkara seperti itu tidak berlaku lagi kerana kebanyakkan ‘penunggu’ yang mendiami kawasan hutan tersebut telah berpindah ke tempat lain.

 

“Tapi sekarang, kes-kes yang macam tu dah jarang kita dengar dah lama, mungkin dia (penunggu) dah berpindah ke tempat lain.

 

“(Mungkin) kawasan ni dah tak sesuai untuk dia duduk, bila orang (pelancong) dah ramai, dia kenalah berpindah ke tempat lain,” ujarnya lagi.

 

Awang turut menjelaskan para pengunjung tidak perlu bimbang kerana pihak berkuasa Taman Negara menyediakan khidmat jurupandu bertauliah dan cekap dalam menghadapi sebarang kemungkinan bahaya sepanjang ekspedisi.

 

 

Aktiviti

 

Bagi memenuhi cita rasa pelancong yang kian berbeza, konsep pelancongan rekreasi yang diperkenalkan meliputi pelbagai aktiviti anataranya memancing, merentas hutan, mendaki gunung.

 

Selain tarikan puncak Tahan, para pelancong boleh menikmati suasana alam menerusi pelbagai aktiviti lain antaranya memancing di Sungai Kenyam, Sungai Tahan, Sungai Perkai dan Sungai Trenggan.

 

Manakala bagi mereka yang inginkan gaya santai mereka boleh memilih aktiviti menaiki bot sepanjang Sungai Tahan, melawat perkampungan orang Asli dari suku kaum Batek, ‘canopy walk’ dan banyak lagi.

 

Beberapa tempat untuk mengintai binatang liar yang singgah di jenut untuk minum, didirikan untuk kemudahan pelancong.

 

Jenut ialah kolam air galian yang wujud secara semula jadi tetapi pihak berkuasa Taman Negara ada membina jenut tiruan.

Aktiviti itu berjalan pada waktu malam dan setiap orang dilarang membuat bising atau berbual-bual ketika berada dalam tempat mengintai yang dikenali sebagai Bumbun.

 

Suasana bising akan menyebabkan binatang liar enggan singgah di jenut yang berada kira-kira 150 meter dari Bumbun dan dengan itu, mungkin peluang untuk melihat binatang liar tidak tercapai.

 

Jenut sering menjadi tempat persinggahan harimau, gajah, babi hutan, pelanduk dan rusa. Antara Bumbun yang sering menerima kunjungan ialah Bumbun Tahan yang terletak kira-kira 200 meter dari ibu pejabat TNR. Bumbun lain ialah Bumbun Tabing, Bumbun Kumbang dan Bumbun Cegar Anjing.

 

Sebuah air terjun dikenali Air Terjun Empat Tingkat sesuai untuk penggemar aktiviti rekreasi lasak.

 

Taman Negara menempatkan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Tahan setinggi 7,174 kaki dari aras laut.

 

Sejarah kewujudan Taman Negara bermula pada tahun 1925 apabila kira-kira 1,300 km persegi kawasan hutan diwartakan sebagai Hutan Simpan Gunung Tahan. Pada tahun 1939 pula, Sultan Pahang, Sultan Terengganu dan Sultan Kelantan telah mengisytiharkan kawasan hutan simpan itu sebagai Taman Negara.

 

Nama asal taman itu ialah Taman Negara King George V dan nama itu ditukar kepada Taman Negara apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

 

 

Banjaran gunung

 

Pendakian ke puncak Tahan agak unik kerana perlu merentasi beberapa gunung lain untuk sampai ke puncak.

 

Antara gunung itu ialah Gunung Gedung, Gunung Tangga 15, Gunung Reskit dan Gunung Rajah. Kita juga perlu melepasi 27 buah bukit-bukau yang terkenal dengan nama Bukit Malang.

 

Selain cabaran itu, kita juga perlu bersedia berhadapan dengan beberapa batang sungai seperti Sungai Luis, Sungai Teku, Sungai Tahan, Sungai Peleting, Sungai Puteh dan Sungai Melantai.

 

Semua sungai itu perlu diseberangi dan sehubungan itu, penguasa Taman Negara tidak menggalakkan aktiviti mendaki Gunung Tahan diadakan pada musim hujan, kerana paras air sungai tinggi dan deras boleh membahayakan pendaki. – SuaraTV

 

Untuk sebarang maklumat boleh dapatkan melalui:
Laman Web: http://www.tamannegara4u.com/
No Telefon: +6013-991 9722

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *