Tahanan Reman Pengarah JKR Melaka Dilanjutkan Tiga Hari

MELAKA – Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Datuk Khalid Omar disambung reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pe­ngubahan wang haram.

 

Perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd. Anuar Ostadi.

 

Terdahulu, Khalid, 56, yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan selama seminggu yang berakhir hari ini tiba di Kompleks Mahkamah Melaka pada pukul 9.10 pagi dan meninggalkan mahkamah kira-kira sejam kemudian.

 

Permohonan reman ke atas pegawai kanan itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

 

Pada 16 Ogos lalu, akhbar melaporkan SPRM membekukan akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam termasuk dua daripadanya yang berpangkat Datuk dan Datuk Seri.

 

Mereka yang berusia lingkungan 50-an ditahan dalam operasi serentak di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *