Tindakan Pecat Muhyiddin, Mukhriz Telah Ditangguh Hampir Setahun

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa memberitahu keputusan pemecatan dua pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah hampir setahun ditangguhkan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

 

Menurut Annuar, jika mengikut kepada cadangan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, keduanya sudah dipecat tahun lalu.

 

“Pada 9 November tahun lalu, dalam satu mesyuarat di PWTC yang dihadiri sendiri oleh Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal, saya telah menyebut secara terbuka kepada mereka,jika diikutkan cadangan beberapa ahli MT beliau sepatutnya sudah dipecat beberapa bulan sebelumnya.

 

“Namun itu tidak terjadi kerana ramai kawan-kawan dalam MT termasuk saya yang masih bersimpati dan mempertahankan beliau daripada dipecat walaupun kesalahan beliau amat jelas dan tiada sebarang keraguan mengenainya. Najib sendiri memilih untuk tidak melakukannya (pecat),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, meskipun Muhyiddin dan Mukhriz tetap ulang kali melanggar disiplin parti, Najib tetap enggan mengambil tindakan.

 

“Najib pula sewaktu menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno memilih untuk berjiwa besar dengan menghulurkan tangan dan menyeru ke arah penyatuan dalam parti tapi mereka tetap langgar disiplin.

 

“Berikutan itu berkali-kali juga syor mereka dipecat telah dibawa kepada MT, namun Najib tetap enggan mengambil sebarang tindakan,” katanya.

 

Mengungkit sejarah di saat Umno di bawah pemerintahan Tun Mahathir Mohamad, Annuar berkata pemecatan selalunya dilakukan tanpa belas kasihan seperti yang berlaku terhadap Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Namun Najib mengambil masa hampir setahun untuk bertindak memecat mereka yang jelas menderhaka kepada Umno.

 

“Itu pun setelah diasak oleh ahli MT bertubi tubi, beliau masih bertanya kepada majlis…”adakah ini ‘unanimous decision of MT?’ Ada sesiapa yang tak setuju atau ada lain-lain pandangan?’. Akhirnya MT membuat keputusan dengan sebulat suara,” katanya.

 

Beliau turut mendakwa Muyhiddin dan Mukhriz sudah lama mengharapkan dipecat daripada parti.

 

“Malah Tun Mahathir terlebih dahulu ‘memecat diri sendiri’ dari Umno maka anaknya dan proksinya sudah tentu sengaja dan mahu perkara yang sama atas diri mereka sendiri. Buktinya mereka terus menerus melanggar disiplin parti.

 

“Ingatlah tiada siapa yang seharusnya lebih besar dari parti. Tun Mahathir pun tidak. Bagi setiap tindakan itu pasti ada harga yang wajib dibayar dan perbuatan menderhaka kepada perjuangan parti dan suara majoriti.

 

“Apa lagi percubaan mengguling ketua parti dan kerajaan yang telah dipilih melalui proses demokrasi dan pilihan raya wajib dibayar dengan harga yang mahal,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *