Steven Gerrard Kembali Sertai Liverpool?

LONDON – Steven Gerrard kembali ke kem latihan Liverpool di Melwood semalam ketika pemain tengah LA Galaxy itu menolak percutian cuaca panas di California untuk mengharungi ke cuaca sejuk di Merseyside.

 

Bekas kapten skuad The Reds itu pulang ke kampung halamannya sejak berakhir kempen Liga Bola Sepak Amerika (MLS), musim ini dan kehadirannya dialu-alukan pengurus baharu kelab itu, Jurgen Klopp.

 

Begitupun, pengurus kelahiran Jerman itu pantas menafikan sebarang khabar angin bahawa Gerrard akan kembali beraksi di Anfield dan menegaskan kehadiran Gerrard sekadar untuk menjalani latihan.

 

“Sudah tentu dia adalah legenda Liverpool. Begitupun kontraknya, seperti yang saya tahu dia di Amerika Syarikat (AS),” kata Klopp sebelum pertembungan Liga Europa bertemu Rubin Kazan.

 

“Begitupun ketika waktu cuti, saya memberitahunya, “Sudah tentu kamu boleh kembali bila-bila kamu mahu. Kamu boleh berlatih bersama kami, lakukan apa yang baik untuk kamu.

 

“Pintu kami sentiasa terbuka untuknya. Ia jelas. Begitupun, tiada apa-apa yang lain. Semua orang boleh belajar daripada Stevie, namun saya sedang belajar untuk memahaminya,” kata Klopp.

 

Tawaran itu jelas sesuatu yang cukup melegakan Gerrard yang mengakui gembira dengan keputusan bekas pengurus Borussia Dortmund itu, selain berpeluang menyaksikan kerja yang dilakukan Klopp dengan lebih rapat.

 

“Saya cukup teruja untuk kembali, jelas saya berada di sana untuk tempoh yang cukup lama dan saya keluar dalam tempoh yang singkat namun saya tidak sabar untuk melihat cara yang baru.

 

“Melihat kepada taktikal Klopp, apa yang dimahukan kepada pemainnya dan berapa banyak perubahan yang dibuatnya selepas era Brendan (Rodgers),” kata Gerrard.

 

“Kamu melihatnya ketika temuramah dan kamu gemar untuk melihatnya. Dia mempunyai personaliti yang menarik dan saya teruja untuk pergi dan menghabiskan masa bersamanya,” kata Gerrard yang bermain bersama Liverpool buat kali terakhir, Mei lalu. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *