Polis Selesai Siasatan Kes Pijak Gambar Najib, Hadi

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai menjalankan siasatan ke atas pihak yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu Perhimpunan Bersih 4.0, Ogos lalu.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini berkata, kes berkenaan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya untuk arahan selanjutnya.

 

Ujar Zahid, turut selesai ialah siasatan polis ke atas insiden pembakaran patung Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.

 

“Pihak polis menjalankan siasatan berkait Manjoi Report 635/15 kertas siasatan 2002/15 di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan atas perbuatan memijak gambar Pekan dan Marang, kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwaraya pada 17 September 2015 untuk arahan selanjutnya.

 

“Bagi perlakuan membakar patung Gelang Patah dan Bagan, pihak polis menjalankan siasatan berkait Kota Baru Report 18755/15, kertas siasatan 1881/15 di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwaraya pada 13 Oktober untuk arahan lanjut,” kata Timbalan Perdana Menteri itu.

 

Jawapan berkenaan sebagai maklum balas terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang meminta kementerian menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap insiden memijak gambar Najib dan Hadi serta tindakan pihak yang membakar patung Kit Siang dan Guan Eng.

 

Pada Perhimpunan Bersih 4.0 Ogos lalu, beberapa peserta himpunan berkenaan bertindak memijak gambar Najib dan Hadi yang ‘berpelukan’ dan gambar yang memaparkan tindakan ‘biadap’ itu kemudiannya menjadi viral di internet.

 

Insiden itu mencetuskan kemarahan masyarakat Melayu Islam di negara ini. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *