Polis Nafi Mayat Kevin Morais Dijumpai Di Sungai Klang

KUALA LUMPUR – Polis pada Rabu menafikan laporan kononnya  mayat Anthony Kevin Morais yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan dari Jabatan Peguam Negara, telah dijumpai di Klang, Selangor.

 

Penafian itu dibuat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad.

 

Beliau yang dihubungi Bernama menerusi telefon untuk pengesahan mengenai laporan itu telah menyatakan bahawa perkara itu adalah tidak benar.

 

Zainuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

 

Berita mengenai penemuan mayat yang kononnya adalah Morais itu dilaporkan di sebuah laman facebook dan ia telah menjadi viral di media sosial.

 

Morais dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan pada Isnin lalu polis telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat kes itu yang diketuai oleh Zainuddin sendiri.

 

Morais dilaporkan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas untuk ke pejabatnya di Putrajaya.

 

Beliau juga dilaporkan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *