Takut polis, PATI maut dilanggar kereta api

Kuala Lumpur – Gara-gara takut ditahan polis, seorang lelaki warga asing menyembunyikan diri sebelum ditemui mati di tepi landasan kereta api Sri Bintang, Kepong, petang semalam.

 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, mangsa warga Indonesia itu berusia 34 tahun dilaporkan hilang Jumaat lalu.

 

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira empat hingga lima hari lalu.

 

“Pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.

 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Munusamy berkata, mangsa yang dikenali sebagai Hardi dikatakan keluar membeli ubat kira-kira jam 5.30 petang, Jumaat lalu dan dilaporkan tidak pulang ke rumah.

 

Menurutnya, keluarga melaporkan mangsa tidak pulang ke rumah kerana bimbang ditahan polis disebabkan tinggal melebihi masa dan bersembunyi di KTM Kepong.

 

Beliau berkata, laporan bedah siasat hari ini mendapati mangsa mati akibat kecederaan di dada dan kepala dipercayai dilanggar kereta api.

 

Menurutnya, terdapat kesan retakan pada tengkorak dan tulang rusuk namun tiada kecederaan fizikal pada mangsa yang menjurus kepada kes jenayah.

 

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *