“Claire Brown, Jangan Campur Urusan Dalaman Malaysia”

Kuala Lumpur – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menyerahkan memorandum bantahan kepada Pesuruhjaya British ke Malaysia supaya menasihatkan pemilik Sarawak Report, Claire Brown tidak mencampuri urusan dalaman negara ini.

 

Ketua Hal Ehwal Bumiputera PMSP, Mohd Faizan Alias berkata, sebagai rakyat asing, Claire, tidak layak untuk mencampuri urusan dalaman negara ini terutama isu politik.

 

“Siapa Claire Brown ini? Saya sebagai pemegang kad pengenalan Malaysia dan lahir di negara ini tidak boleh menerima sekiranya pihak luar mencampuri urusan negara. Kami amat marah dengan tindakan dia (Claire),” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum di British High Commission pada Jumaat.

 

Tambahnya, Sarawak Report harus kembali kepada matlamat asal penubuhannya iaitu bertindak sebagai sebuah organisasi untuk alam sekitar dan pembalakkan haram di Sarawak.

 

“Itu adalah misi dan visi sebenar Sarawak Report, bukannya mencampuri urusan politik negara,” katanya.

 

Mohd Faizan turut memberi gambaran bahawa rakyat di negara United Kingdom (UK) juga akan marah sekiranya terdapat rakyat di negara asing mencampuri urusan negara mereka.

 

“Cuba kita terbalikkan, saya warga negara Malaysia, campur tangan hal ehwal negara UK. Adakah dia dan kerajaan UK akan benarkan. Cuba tanya Perdana Menteri UK, boleh atau tidak,” jelasnya.

 

Pada masa sama, Mohd Faizan turut mendakwa tuduhan palsu Sarawak Report itu adalah sebagai salah satu bentuk penjajahan era baru.

 

“Dahulu mereka (UK) menjajah negara kita menggunakan serangan fizikal, tetapi kini mereka nenjajah dengan cuba untuk menghasut fikiran rakyat Malaysia,

 

“Adakah Claire berhasrat untuk menipu seluruh rakyat Malaysia supaya keamanan negara hancur, dan buruk di mata dunia.

 

“Kepada Claire ini pesan saya kepada anda, jangan campur urusan dalaman negara ini” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *