MASA DEPAN GELAP UMNO KETIKA ULANG TAHUN KE-74?

- Advertisement -

Oleh Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin

11 Mei adalah ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Kita ada sekian banyak tarikh penting sejarah negara. Namun 11 Mei akan tetap dianggap sebagai satu tarikh yang kemudiannya mengubah lanskap politik, ekonomi dan sosial negara selama berdekad-dekad kemudiannya.

Tahun lalu kita menyambut ulang tahun penubuhan UMNO dalam keadaan di luar kerajaan, namun dengan penuh kepercayaan parti telah mula bangkit dan bersedia menjadi alternatif pemerintah baharu kepada kerajaan.
Lantaran dunia politik negara bergerak begitu pantas, hari ini dengan tiba-tiba kita menjadi kerajaan semula.

Ini mengingatkan saya kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada September 2018 bahawa UMNO sebenarnya ‘government in waiting’.

Empat bulan selepas tumpas PRU-14, Ahmad Zahid memberi keyakinan bahawa UMNO akan menjadi kerajaan semula baik sama ada melalui PRU15 atau lebih awal sebelumnya.

Menurut Ahmad Zahid, “kita harus bersedia dengan landskap politik di mana dinamik politik harus difahami sepenuhnya dengan keterbukaan kita mengadakan perundingan sesama pakatan pembangkang ataupun di luar daripada lingkaran itu.”

Apa yang dikatakan cerita dongeng Ahmad Zahid ini akhirnya menjadi kenyataan apabila UMNO dan Barisan Nasional telah diminta membentuk sebuah kerajaan baharu, akibat pergelutan politik Pakatan Harapan.

UMNO BERKORBAN UNTUK TERKORBAN?

Selepas berada dalam kerajaan mungkin ramai sudah lupa bahawa bukan UMNO dan PAS yang mencadangkan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini. UMNO dan PAS mencadangkan pembubaran Parlimen bagi diadakan satu pilihan raya umum yang baharu.

Namun saranan ini ditolak oleh Yang Di Pertuan Agong yang melihat PRU baharu selepas tidak sampai dua tahun diadakan bukanlah satu pilihan yang baik. Malah mempertimbangkan keadaan pandemik Covid-19, Tuanku telah meminta diadakan satu konsensus kalangan Ahli Parlimen agar memilih Perdana Menteri yang baharu.

Atas semangat mahu menjaga kemaslahatan lebih besar, UMNO, termasuk Barisan Nasional dan Pas telah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sokongan ini adalah satu risiko politik yang besar kepada UMNO. Parti tidak mempunyai kuasa dalam menentukan pelantikan kabinet, pengerusi agensi dan GLC serta perubahan dasar.

Bayangkan Ahli Parlimen UMNO yang berasa teraniaya dengan pendakwaan bermotif politik oleh kerajaan lalu seperti Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Bung Mokhtar dan Datuk Ahmad Maslan, turut akur dengan pembentukan kerajaan ini.

Melihat majoriti tipis yang diperolehi oleh Muhyiddin, tanpa sokongan keempat ini pasti tiada pembentukan kerajaan baharu. Namun mereka memilih berlapang dada dan menyokong pembentukan kerajaan ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO juga membuat keputusan yang berat menyokong pembentukan kerajaan PN.

Mereka sedar peranan yang dimainkan oleh UMNO dalam kerajaan sebelum Mei 2018, telah diambil alih oleh Bersatu dan ahli-ahli Parlimen, yang menikam UMNO selepas PRU-14.

Ini realiti politik yang terpaksa UMNO terima dan telan. Ini pengorbanan paling tragis dalam sejarah penubuhan UMNO selama 74 tahun. Namun kita melakukan kerana memikirkan kepentingan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Kita boleh berbangga dengan pengorbanan ini. Mac 2020 menjadi bukti UMNO yang ditohmah sebagai parti ‘sombong, ego dan elit’ tiada masalah menerima mereka yang mengkhianati parti demi menjaga kepentingan rakyat.

Kita menerima dengan hati yang terbuka melihat mereka yang lompat parti telah diberi peranan penting dan menteri kanan dalam kerajaan berbanding UMNO.

Malah ada keadaan pegawai kanan kerajaan diberi peranan lebih utama berbanding Menteri dari UMNO yang menjaga kementerian terbabit. Kita redha dan pasrah ini ketentuan Allah dan juga sebuah pengorbanan.

JANJI DIKHIANATI

Apabila membantu menubuhkan kerajaan ini, kita dijanjikan ini hanyalah kerjasama Ahli Parlimen ketika zaman sukar negara. Ini pengorbanan kita untuk negara.

Hari ini kita dikhianati! Para pencatur politik yang rapat dengan Tan Sri Muhyiddin sedang ‘memaksa’ dan ‘memujuk’ penubuhan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi. Semua parti yang menyokong kerajaan ini dikehendaki memasuki PN yang akan diketuai Bersatu.

Dalam PN, peranan UMNO akan diambil alih oleh Bersatu. Peranan UMNO mempunyai tiga juta ahli akan diambil alih oleh Bersatu yang mempunyai 300 ribu ahli dan masih gagal mengadakan pemilihan pertama mereka.

Peranan UMNO yang mempunyai ahli Parlimen terbanyak sebelum dicuri, akan diambil alih oleh Bersatu. Demikianlah susu kita beri tuba dibalasnya.

UMNO pasti tersepit jika parti komponen BN yang lain, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil keputusan menyertai PN di bawah kepimpinan Bersatu.

Lebih dahsyat ada pemimpin UMNO yang mengadakan rundingan belakang tabir dengan para pencatur politik ini. Ada yang secara sukarela berjumpa Muhyiddin berjanji untuk membawa UMNO masuk PN jika mereka mengambil alih kepimpinan parti.

Mereka ini semua sudah kaya dan pernah berkuasa. Perlukah mereka mengorbankan parti untuk kepentingan diri lagi?

Kita dalam bahtera besar UMNO haruslah memberi kepercayaan kepada nahkoda parti, bukannya mengubah haluan kapal sesuka hati.

Jika ada ketidakpastian dan dilema, bawalah musyawarah dalam parti, bukan menjadi seperti si kitol yang menjatuhkan Melaka. Biarlah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Jika tahun lalu kita sedang memimpin satu pakatan besar yang hanya menunggu pilihan raya umum untuk mengambil alih kerajaan; Hari ini kita berada dalam kerajaan tetapi tidak lebih daripada melukut di tepi gantang menunggu masa dikuis keluar.

Justeru ketika kita menyambut ulang tahun penubuhan UMNO ke-74 dalam keadaan gembira berada dalam kerajaan, masa depan kita sebenarnya lebih suram berbanding tahun lalu.

Saya berharap UMNO tidak menjadi seperti semut yang mati kerana gula.

Untuk para pencatur politik dalam UMNO atau yang pernah berada dalam UMNO, ingatlah peranan UMNO yang telah mengangkat kalian sebagai pemimpin besar orang Melayu dan Islam selama berpuluh tahun. Jangan khianat perjuangan UMNO ini.

*Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin merupakan Ketua Pemuda UMNO, Bahagian Titiwangsa. Pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pandangan Suara.tv

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat