Wan Azizah Tercengang Ditanya Mengenai Manifesto

Permatang Pauh – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh tercengang seketika ketika diajukan mengenai pelancaran manifesto parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung 7 Mei ini.

 

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun kemudiannya berkata, manifesto PKR akan dilancar selepas lawan politiknya dari calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin melancarkan manifesto mereka.

 

“Manifesto..? Oh, kita tunggu manifesto BN dulu,” katanya di dalam sidang media harian PKR di Yayasan Aman di sini hari ini.

 

Terdahulu Dr Wan Azizah ketika ditanya mengenai masalah yang dihadapi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata isu tersebut telah diselesaikan.

 

Beliau yang ditemui ketika program sarapan pagi bersama rakyat di Permatang Rawa pagi ini menafikan pengundinya di Kajang masih lagi marah susulan keputusan PKR meletakkan beliau sebagai calon di Permatang Pauh.

 

“Mana ada….semua ‘settle’ (selesai) dah. Kita dah turun sebelum ini. Semua okay,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui di program berkenaan di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan rungutan rakyat di Kajang ekoran ketiadaannya ketika kawasan itu dilanda banjir.
Dr Wan Azizah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang setelah memenangi kerusi itu dalam PRK Kajang tahun lalu.

 

Beliau yang juga Presiden PKR kini bertanding bagi memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk mengisi kekosongan kerusi suaminya yang kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun.

 

Semalam, Dr Wan Azizah turut mengakui permasalahan banjir di Kajang adalah masalah biasa di kawasan itu.

 

Beliau juga menjelaskan pihaknya telah meletakkan wakil di Kajang bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

 

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said mendakwa kawasan yang dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selama hampir 17 tahun itu dahagakan pembangunan.

 

Perkara tersebut turut disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin di dalam satu sidang media di kawasan yang sama ketika hadir turun berkempen bagi calon mereka.

 

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman semalam turut tertanya-tanya apakah yang bakal dipersembahkan PKR kepada rakyat di Permatang Pauh bagi PRK kali ini.

 

Malah turut sempat mengingatkan PKR untuk mengumumkan manifesto sekiranya jujur mahu berkhidmat kepada penduduk di kawasan terbabit.

 

“PKR sudah 17 tahun menjadi wakil rakyat sini tetapi tiada apa-apa perubahan, kali ini kita nak tahu apa perancangan mereka untuk penduduk sini dan berapakah jumlah yang akan diperuntukkan untuk pembangunan,” memetik laporan Bernama pada Rabu.

 

Dalam pada itu, Bernama turut melaporkan pengundi paling tua di Permatang Pauh, Othman Daud yang berumur 103 tahun dari Kampung Tanah Liat menganggap tiada perubahan yang banyak dilakukan selepas pembangkang mengambil alih kerusi kawasan tersebut.

 

Namun, Othman berkata bahawa pembangunan di Permatang Pauh dapat dirasai ketika Anwar memegang kerusi itu sewaktu masih bersama BN selaku menteri kabinet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *