Mahathir Jumpa Azmin Di London

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam satu tulisannya mendedahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan pertemuan sulit dengan orang kanan Anwar Ibrahim.

 

Menurut Zaid, pertemuan tersebut berlangsung bulan lalu di antara Dr Mahathir dengan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali di Kota London.

 

“Adakah ini pemulaan bagi satu pertemuan paling penting di antara Dr Mahathir dan Anwar?,” soal Zaid dipercayai merujuk kepada peranan Azmin sebagai perantara yang mungkin akan menghubungkan Anwar dengan Mahathir.

 

Zaid turut mencadangkan supaya diwujudkan pakatan politik antara Dr Mahathir dengan Anwar dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Pada Februari lalu desas-desus berlakunya pertemuan sulit tersebut hangat diperkatakan selepas Raja Petra Kamarudin menulis mengenainya di portal MalaysiaToday.

 

Azmin bagaimana pun menafikan menyertai pertemuan tersebut dan menganggap cerita mengenainya sebagai fitnah.

 

“Usah terpengaruh dengan fitnah blogger.

 

“Kita bawa politik baru, politik nilai dan keharmonian demi rakyat,” ujar Azmin.

 

Sementara itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dalam satu reaksinya minggu lalu menyifatkan Dr Mahathir berhak bertemu sesiapa sahaja meski pun berbeza fahaman politik.

 

“Dr Mahathir boleh dipercayai berjumpa sesiapa saja. Dr Mahathir kalau berjumpa, dia selalu mencari kebaikan dan bukan negatif,” kata Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *