Helikopter Mungkin Langgar Kabel Pencawang Elektrik?

KUALA LUMPUR – Nahas helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB) di Semenyih mungkin berlaku akibat melanggar kabel pencawang elektrik sewaktu terbang rendah sebelum terhempas.

 

Penganalisis penerbangan yang juga bekas Penyiasat Penerbangan Tentera Udara Malaysia (TUDM), Kapten (B) Rahmat Omar berkata, helikopter itu mungkin terpaksa terbang rendah akibat cuaca buruk.

 

“Saya tidak pasti bagaimana cuaca ketika itu, kalau cuaca buruk, ada kemungkinan juruterbang akan terbang dengan lebih rendah, daripada gambar yang tersiar di laman sosial, kita tidak dapat pastikan helikopter jatuh terkena pokok dan terhempas ke tanah ataupun terhempas di udara lagi.

 

“Kita tunggu pasukan penyiasat untuk menyiasat pesawat jatuh dari laluan mana dan dari berapa tahap ketinggian,” katanya dalam laporan Astro Awani.

 

Beliau berkata, selepas siasatan, proses bedah siasat dilakukan bagi memastikan punca helikopter terhempas.

 

Selepas itu katanya, pihak berkenaan akan mengumpulkan kesemua serpihan helikopter dan juga menyiasat dengan lebih lanjut laluan helikopter semasa jatuh.

 

“Ruang udara helikopter tersebut terjatuh merupakan tempat latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan juga dipanggil (simpang), ia merupakan laluan biasa untuk pesawat ringan seperti helikopter.

 

“Laluan selatan iaitu di sempadan Banting sahaja merupakan kawasan tanah tinggi dan tempat helikopter tersebut terhempas merupakan kawasan yang tidak begitu tanah tinggi,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *