Video: Pelaksanaan Akta Pencegahan Untuk Atasi Elemen Keganasan – Najib

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan, yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat nanti, bukan bermotifkan politik.

 

Beliau berkata malah pengurusan pelaksanaan akta itu bukan diletakkan di bawah anggota-anggota pentadbiran tetapi diletakkan di bawah satu badan yang berwibawa.

 

 

Beliau menegaskan tujuan pelaksanaan itu adalah untuk mencegah sebarang elemen keganasan daripada merebak dan mengancam keselamatan negara.

 

“Prevention is better than cure (mencegah lebih baik daripada merawat) menjadi pegangan kerajaan terhadap mencegah ancaman keganasan.

 

“Sebelun berlaku keganasan kita mesti ambil tindakan dahulu mencegahnya kerana kesannya lebih buruk jika kita terlambat mengambil tindakan,” katanya semasa merasmikan Hari Polis ke 208 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

 

Najib berkata terdapat pihak tertentu yang cuba memperkecilkan pelaksanaan undang-undang berkenaan dengan mendakwa ia bukan bersifat demokrasi dan menyekat kebebasan.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada kebebasan mutlak boleh wujud dalam sebuah negara demokrasi terutamanya di negara ini.

 

Beliau berkata setiap rakyat tertakluk di bawah undang-undang negara bagi memastikan keamanan dan keselamatan sentiasa terpelihara.

 

Najib berkata pelaksanaan akta itu adalah rentetan usaha kerajaan dalam membanteras pengganas seperti IS dan pembentangan Kertas Putih di Parlimen tahun lepas.

 

Justeru itu, kerajaan berhasrat untuk mengekalkan dan akan memperkukuhkan Akta Hasutan bagi menjaga hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

 

Najib berkata menangani pengganas menjadi antara empat cabaran yang perlu ditangani Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain menghadapi ledakan kritikan media sosial yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama, pencerobohan terhadap negara seperti di Lahad Datu, Sabah pada 2013 dan mengurangkan indeks jenayah di dalam negara.

 

“PDRM mempunyai cara untuk berhadapan dengan cabaran ini secara versatil dan fleksibel,” katanya.

 

Mengulas mengenai ledakan kritikan di media sosial, beliau berkata PDRM perlu menanganinya agar ia tidak memecahkan perpaduan yang wujud sekian lama antara kaum dan etnik di negara ini.

 

Mengenai Hari Polis ke-208, Najib berkata hari berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan dan rakyat terhadap sumbangan, pengorbanan dan komitmen pasukan itu menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

 

“Sesungguhnya amat sukar untuk membalas budi baik PDRM yang telah banyak menyumbang kepada keamanan negara dengan pelbagai peristiwa sejak zaman darurat sehingga peristiwa pencerobohan Lahad Datu,” katanya.

 

Najib memberikan analogi kerusi dan meja terhadap sesebuah negara yang mampu berdiri teguh atas empat tapak yang kukuh iaitu kedudukan ekonomi yang kuat, kestabilan politik, ikatan perpaduan antara rakyat dan keselamatan serta keamanan.

 

“Daripada empat tapak itu, saya mengutamakan keselamatan dan keamanan kerana ia harus didahului,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menyelar tindakan pihak tertentu yang mengkritik dan memandang rendah perkhidmatan polis dengan menyifatkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab.

 

“Kerana polislah kita dapat hidup aman dan keselamatan kita terjaga di dalam negara ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *