Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Tanding PRK DUN Chempaka?

Kuala Lumpur – Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang yang juga aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan menawarkan diri untuk bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya DUN Chempaka pada 22 Mac ini.

 

Sharif Mahmud, 59, dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, mengesahkan telah membeli borang daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu dan akan menyerahkannya pada hari penamaan calon Selasa ini.

 

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut, sebaliknya memberitahu khabar angin yang tersebar meluas di laman sosial yang mengatakan beliau antara salah seorang calon bebas adalah benar.

 

“Setakat ini begitulah,” katanya ringkas.

 

Sharif adalah bekas Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan bersara wajib tahun 2010.

 

Dalam UMNO Bahagian Gua Musang tahun 1990-an, beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda, Ketua Pemuda Bahagian dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian.

 

Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu kerana kanser prostat.

 

Minggu lepas, Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan (KBRK), Fadzillah Hussin, 55, antara calon wanita tunggal mengumumkan bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang gajah.

 

MalaysiaGazette melaporkan, pilihan raya kecil DUN Chempaka kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara PAS sebagai penyandang kerusi itu dan tiga calon Bebas.

 

Seorang lagi calon yang disebut-sebut bertanding atas tiket Bebas ialah bekas Timbalan Pendaftar Kolej Islam Sultan Yahya Petra (KIAS), Che Ibrahim Mohamed, 53.

 

Beliau adalah ahli PAS yang dipecat dari jawatan itu oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 1 Februari tahun lalu.

 

Difahamkan, Che Ibrahim adalah ahli Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dan dikatakan mendapat sokongan kuat daripada pemimpin NGO dalam PAS itu.

 

PAS Kelantan setakat ini belum mengumumkan calonnya, tetapi mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga tengah malam Isnin ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *