Blog BeautifulNara Kena Maki Dengan Peminat Shila Amzah

Kuala Lumpur – Penyanyi tempatan yang mencipta nama di China, Sheila Amzah sekali lagi dipalit kontroversi dengan penulis blog hiburan, BeautifulNara.

 

Blog tersebut terlebih dahulu memuatnaik satu artikel yang mendakwa Sheila kini digam oleh stesen televisyen China.

 

Rentetan artikel itu, penulis berkenaan dikecam hebat oleh peminat artis tersebut, termasuklah ahli keluarga Sheila.

 

ND Lala, bapa kepada penyanyi itu menyangkal tuduhan penulis itu dengan menyifatkan beliau sengaja memanipulasi keadaan malah turut memuatnaik gambar artikel tersebut di laman sosial Instagramnya dengan menulis ‘Contoh Penulis Kurang Ajar’.

 

“Saya ‘kagum’ dengan penulis ni… dia kerap menyediakan ‘gelanggang’ untuk orang bergaduh ..fitnah memFITNAH dan caci mencaci.. Dan dia boleh tidur Lena ..Setelah dia melakukan perkara seumpama ini .. Berulang ulang kali ..seakan tak pernah merasa berdosa atau bersalah. Beautiful nara… semua perkara yang kita buat ..pasti ada akibat. Yang nyata awak ‘hebat’,” demikian memetik kenyataan ND Lala di Instagramnya.

 

Tidak itu sahaja, ibu dan adik Sheila juga turut menyelar tindakan penulis BeautifulNara itu menerusi laman mikro Twitter.

 

“Assalamualaikum, Dear ugly Nara, please stop tulis pasal family saya…

 

“Satu lagi, mohon sangat, dah berkali-kali kami minta supaya jangan tulis pasal kami lagi. Kami tak suka. Thank you @beautifulnara,” demikian twit Syada Amzah, adik kepada penyanyi berkenaan.

 

Susulan ‘serangan’ tersebut, penulis BeautifulNara pada hari ini mengeluarkan satu posting baru sebagai permohonan maaf terhadap Sheila dan keluarganya, selain menegaskan blog tersebut tidak akan mengeluarkan sebarang penulisan berkenaan penyanyi itu lagi.

 

Bagaimanapun beliau juga memaklumkan bahawa artikel tersebut ditulis oleh penulis lain.

 

“Sekadar untuk makluman anda semua, BeautifulNara mempunyai beberapa orang penulis yang menyumbang artikel kepadanya. Namun selaku pemilik blog ini, Abang Nara bertanggungjawab untuk memantau setiap tulisan mereka.

 

“Namun semalam diri ini agak sibuk dan menyebabkan artikel itu terlepas pandang. Selepas mendapat makluman daripada para peminat Shila Amzah di Twitter dan Instagram, Abang Nara telah membuat tindakan sewajarnya.

 

“Selaku manusia biasa, kesilapan dan kekhilafan sebegini sememangnya sering terjadi, lebih-lebih lagi BeautifulNara tiada editor tetap yang memantau. Kami hanyalah blogger biasa-biasa sahaja.

 

“Selain itu Abang Nara juga menerima seadanya kutukan, kritikan dan cercaan daripada peminat Shila Amzah dan juga para keluarga mereka. Memang ia berpunca dari kesilapan diri ini. Di kesempatan ini, Abang Nara menyusun sepuluh jari memohon maaf dan keampunan terhadap semua pihak yang terbabit terutama Shila Amzah dan keluarga.

 

“Abang Nara juga telah memaklumkan kepada semua penulis agar sebarang tulis tentang Shila Amzah tidak dikeluarkan selepas ini, sesuai dengan permintaan ahli keluarga penyanyi ini,” kata pemilik BeautifulNara itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *