Wan Azizah Akan Bertanding Semula Di Permatang Pauh

Kuala Lumpur – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah akan bertanding semula di kerusi parlimen Permatang Pauh bagi mengantikan suaminya, yang merupakan Ketua Pembangkang kerana disabitkan dengan kesalahan Liwat II.

 

Menurut sumber Biro Politik PKR, parti itu dikatakan telah meluluskan usul agar Wan Azizah diletakan sebagai calon di kerusi parlimen Permatang Pauh.

 

Portal The Star melaporkan, di dalam mesyuarat biro yang diadakan pada lewat malam tadi Wan Azizah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN), Kajang akan diletakkan bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

 

Pemimpin PKR ketika dihubungi semalam, walau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada parti itu telah memilih Wan Azizah atau sebaliknya.

 

“Kami belum membuat keputusan (calon untuk Permatang Pauh).

 

“Apa yang diputuskan ketika mesyuarat itu, kami akan mengadakan berbincang dengan Datuk Seri Anwar terlebih dahulu dan (Naib Presiden PKR) R. Sivarasa akan pergi ke penjara sama ada hari ini atau selepas Tahun Baru Cina bagi mendapatkan pandangan beliau, ”  kata Naib Presiden PKR, Tian Chua, seperti yang dilaporkan portal The Star.

 

SuaraTV sebelum ini melaporkan walaupun ada spekulasi yang mahu anak kedua Anwar, Nurul Nuha bertanding di kawasan tersebut namun rata-rata pimpinan parti mahukan Wan Azizah bagi memastikan jawatan Ketua Pembangkang kekal disandang wakil dari PKR.

 

 

“Majoriti ahli parti mahukan Wan Azizah yang bertanding di Permatang Pauh sekaligus mengisi kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

 

 

“Sekiranya Kak Wan tidak bertanding, kami takut jawatan tersebut diberikan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang” ujarnya kepada SuaraTV sebelum ini.

 

 

Beliau yang enggan mendedahkan identitinya berkata, paling menakutkan sekiranya jawatan tersebut diberikan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

 

 

Tambahan pula Wan Azizah mempunyai pengalaman sebagai ketua pembangkang di Parlimen, apabila beliau dipilih menduduki kerusi itu pada 1999 ketika kali pertama suaminya dipenjarakan.

 

 

“Sekiranya Azmin diberikan mandat untuk mengisi jawatan tersebut, kami risau PKR bakal berdepan dengan kehancuran” ujarnya yang merujuk kepada perpecahan dalaman PKR.

 

Media sebelum ini melaporkan wujudnya dua ‘kem’ di dalam parti itu, di mana satu kumpulan menyokong kepimpinan Wan Azizah manakala satu kumpulan lagi bersama Azmin selaku Timbalan Presiden.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *