Jakim Arah JAWI Ambil Tindakan Terhadap Penganjur Konsert K-Pop

Putrajaya – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu perbuatan sumbang dalam konsert kumpulan K-Pop, B1A4 baru-baru ini.

 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, JAKIM turut difahamkan pihak Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) akan memanggil pihak penganjur dan pihaknya sedia bekerjasama.

 

 

“Dalam kes ini, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku.

 

“Konsert ini adalah sama sekali tidak dirujuk kepada JAKIM malah jabatan ini juga tidak dimaklumkan akan penganjuran program itu.

 

“Saya menyeru agar mana-mana penganjur dan mereka yang terbabit meluluskan, mengambil tanggungjawab serius mempertimbangkan kebaikan dan keburukan dalam penganjuran sesuatu aktiviti sebelum menganjurkan sesuatu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Semalam, satu video yang memaparkan beberapa gadis Melayu dipeluk dan dicium kumpulan B1A4 ketika persembahan di ibu kota baru-baru ini mengundang kritikan hebat pelayar internet.

 

Rata-rata mendakwa gadis-gadis tersebut mencemar imej Islam kerana membenarkan diri mereka diperlakukan sedemikian hanya kerana taksub kepada kumpulan pop Korea itu.

 

Gadis-gadis itu dipersalahkan kerana mengenepikan persoalan hukum, dan tidak kurang ada yang menyifatkan artis K-pop berkenaan ‘tidak bersalah’ kerana mereka mungkin tidak memahami ajaran Islam dan sensitiviti penganutnya di negara ini.

 

Video berdurasi 3.21 minit itu jelas memperlihatkan beberapa gadis Melayu kelihatan teruja apabila berada di atas pentas bersama kumpulan berkenaan, sehingga bertindak memeluk anggota kumpulan berkenaan.

 

Namun pagi tadi penganjur konsert berkenaan tampil memohon maaf di laman sosial Facebook mereka berhubung insiden itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *