Nadal tersungkur pusingan awal Terbuka Qatar

Pemain tenis Sepanyol, Rafael Nadal kecewa selepas dikejutkan pemain kelayakan dari Jerman, Michael Berrer pada Terbuka Qatar, awal pagi tadi. – Foto AFP

DOHA: Juara bertahan, Rafael Nadal ditunjukkan jalan keluar manakala pemain pilihan utama, Novak Djokovic mara ke pusingan kedua pada perlawanan pertama musim baharu di Terbuka Qatar, awal pagi tadi.

 

Nadal yang turun beraksi sebagai pemain pilihan kedua kejohanan, menunjukkan permainan yang terumbang-ambing apabila dikejutkan oleh pemain kelayakan dari Jerman, Michael Berrer 1-6, 6-3, 6-4 pada pusingan pertama.

 

Pemain Jerman, Michael Berrer. – Foto AFP

Ini adalah perlawanan pertama Nadal sejak tersingkir pada suku akhir di Basel apabila dikejutkan oleh pemain kelayakan berusia 17 tahun, Borna Coric dari Croatia pada Oktober tahun lalu.

 

Pemain dari Sepanyol itu bergelut dengan masalah kecederaan dan lebih banyak menghabiskan tempoh musim bunga lalu dengan berehat.

 

“Perkara seperti ini berlaku selepas terlalu lama tidak beraksi, gagal menemui rentak dan tidak bermain dalam pertandingan,” kata Nadal.

 

“Saya bermain dalam keadaan gementar selepas terlalu tidak bermain dan terlalu mahukan kemenangan. Bila anda kembali dari kecederaan, ia memerlukan masa,” katanya.

 

Sementara itu, Djokovic memulakan musim 2015 ini dengan kemenangan 6-2, 6-1 dalam masa 59 minit ke atas Dusan Lajovic dari Serbia.

 

Djokovic tidak mempunyai masalah dengan menguasai 72 peratus servis pertama dengan baik dan melakukan enam masa ‘break’. – AFP/Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *