Bandung Diisytiharkan Darurat Hingga 29 Disember

Bandung – Pihak berkuasa Bandung semalam mengisytiharkan darurat selepas banjir melanda wilayah berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Agensi Kawalan Bencana Bandung Marlan berkata, perintah darurat itu berkuatkuasa sehinga 29 Disember depan dan akan dilanjutkan jika keadaan memaksa.

Menurutnya, keputusan mengenakan perintah darurat itu dibuat pada mesyuarat penyelarasan kelmarin ekoran keadaan bertambah buruk di wilayah berkenaan.

“Banjir melanda Bandung sejak beberapa hari lalu. Kerana itu adalah sesuai untuk mengisytiharkan darurat,” kata Marlan.

Berdasarkan data terbaru, banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Citarum semakin merebak hingga ke beberapa daerah di wilayah berkenaan.

Menurut Marlan, di daerah Dayeuhkolot dan Baleendah, sekurang-kurangnya 17,000 rumah dinaiki air. Lebih 6,000 penduduk pula terpaksa dipindahkan ke tempat selamat.

Dalam pada itu, banjir di Jawa Tengah dan juga di Aceh juga semakin teruk.

Di Jawa Tengah, keadaan itu sudah merebak hingga ke wilayah Banyumas hingga menenggelamkan beberapa buah kampung, kelmarin.

Ratusan hektar tanah pertanian juga terjejas teruk.

Pemangku ketua agensi kawalan bencana wilayah, Prasetyo Budi Widodo berkata belum ada penduduk yang dipindahkan.

“Banjir yang melanda beberapa daerah di sini perkara biasa setiap kali musim hujan. Paras air masih belum di tahap mencemaskan. Tetapi tanah sawah sudah banyak yang tenggelam,” kata Prasetyo.

Seorang penduduk di Kemranjen, Karjo, 50, berkata, banjir di kampungnya bermula Isnin lalu.

“Hujan berterusan dari tengah hari hingga ke malam. Saya tinjau kawasan sawah dan kini ia sudah menjadi laut. Beberapa rumah dan jalan raya juga sudah mula tenggelam,” katanya kepada akhbar Jakarta Post.

Di Aceh, seorang penduduk mati selepas dihanyutkan arus deras Sungai Aceh sementara petani terpaksa memindahkan haiwan ternakan mereka ke kawasan lebih tinggi di wilayah Aceh Besar.

Langkah itu diambil selepas keadaan banjir semakin buruk setelah air Sungai Aceh melimpah tebing, kata ketua agensi kawalan bencana, Samsbul Bahri.

Menurutnya, tanah runtuh juga berlaku di beberapa kawasan wilayah itu. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *