Piala AFF: Dollah yakin M’sia mampu atasi S’pura, mara ke separuh akhir Sabtu ini

Dollah yakin Malaysia akan layak ke separuh akhir dengan mengalahkan juara bertahan, Singapura pada pertemuan terakhir Kumpulan B.

SINGAPURA: Jurulatih skuad kebangsaan Harimau Malaya, Dollah Salleh tidak mahu mengetepikan peluang anak buahnya untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014.

Sebaliknya, beliau yakin mereka akan layak ke separuh akhir dengan mengalahkan juara bertahan, Singapura pada pertemuan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional di sini, Sabtu ini.

Malaysia, yang seri tanpa jaringan dengan Myanmar dan kalah 3-2 kepada Thailand malam tadi, tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas Singapura untuk mara ke separuh akhir.

“Perjuangan kami masih belum selesai kerana masih ada satu perlawanan…sekiranya pemain menampilkan prestasi yang sama seperti malam ini, insya-Allah kita tidak mempunyai masalah untukl mengesahkan slot separuh akhir,” kata Dollah selepas perlawanan itu.

Thailand sudah mengesahkan slot separuh akhir dengan dua kemenangan dan mengumpul enam mata manakala Singapura mempunyai tiga mata dan Malaysia satu.

Singapura hanya memerlukan keputusan seri ke atas Malaysia untuk mengiringi Thailand ke separuh akhir.

Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B layak ke separuh akhir.

Mengenai pertemuan dengan Thailand, Dollah berkata beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain kerana telah menunjukkan permainan terbaik masing-masing dan kealpaan pada minit-minit terakhir perlawanan menjadi punca utama kekalahan itu.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang menyifatkan perlawanan itu sebagai hebat dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan pemain yang mempamerkan aksi terbaik masing-masing untuk meraih kejayaan.

Thailand akan melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang Myanmar, Sabtu ini. -AstroAwani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *