Memetik laporan Forbes, jam tangan pintar berkenaan membolehkan ia merekodkan kadar denyutan jantung secara pasif dan boleh digunakan pada seluruh platform mudah alih yang berbeza.

Sumber memberitahu, peranti itu juga dikatakan mempunyai jangka hayat bateri sehingga dua hari bagi penggunaan biasa.

“Ia menjadikan peranti baharu tersebut mengatasi jam tangan pintar Samsung Galaxy Gear dan Moto 360 yang perlu dicas sekali sehari bagi penggunaan biasa,” katanya di sini hari ini.

Peranti berkenaan dijangka akan mula dijual selepas dilancarkan bagi menarik perhatian pembeli terutamanya dalam musim percutian akan datang.

Microsoft bagaimanapun enggan mengulas mengenai produk baharu terbabit.

Forbes sebelum ini melaporkan, Microsoft sedang bekerja keras menghasilkan jam tangan pintar yang menampilkan kejuruteraan optikal daripada bahagian Kinect syarikat terbabit.

“Jam tangan pintar berkenaan merupakan produk baharu pertama di bawah pengurusan Ketua Pegawai EKsekutif Microsoft yang baharu, Satya Nadella,” katanya.

– FORBES