Tidak Sabar Nak Jumpa Ibu

Kota Bahru – “Saya teruja dan tidak sabar untuk berjumpa dengan ibu,” kata Aishah Azizul Raheem, anak sulung Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna, Stockholm, Sweden.

Aishah, 14 tahun, berkata dia bersyukur dan gembira, apabila mengetahui ibunya akan dibebaskan dari penjara, esok.

“Apa yang lebih menarik ialah kami semua akan dapat menyambut Hari Raya Aidiladha bersama ibu,” katanya ketika ditemui di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor, pada Ahad.

Jelasnya, dia dan adiknya, Ammar, 13, Adam, 12, dan Ariff, 8, akan membuat kad ucapan khusus untuk menyambut ketibaan ibu, selain akan memberikan jambangan bunga.

Sementara itu, bapa Shalwati, Norshal Nordin, 70 tahun, berkata beliau bersyukur, kerana anaknya akan kembali ke Malaysia.

“Sekurang-kurangnya anak saya dapat balik bertemu keluarganya, dan saya berharap dia dapat membina kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

Akhbar melaporkan Shalwati akan dibebaskan pada Isnin, selepas selesai menjalani hukuman penjara dan dijangka pulang ke Malaysia pada Rabu ini.

Pada 29 Mac lalu, Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalludin, seorang Pegawai Tourism Malaysia dijatuhi hukuman penjara, kerana mendera anak-anak mereka sejak September 2010.

Azizul Raheem kemudiannya dibebaskan pada 9 Julai lalu, selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan, manakala Shalwati seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.

Bagaimanapun, hukuman mereka dikurangkan, dengan masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada tempoh hukuman mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *